Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Panji Gelombang Merah selubungi pengunjung dengan kekuatan, jasa UMNO

Written By Unknown on Jumat, 30 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Panji dan poster 'Gelombang Merah' yang memenuhi segenap ruang Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bukan sahaja "meniupkan" semangat Umno kepada perwakilan, tetapi juga pengunjung ke Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Paparan gelombang merah itu yang membawa pelbagai mesej, mengingatkan kembali perwakilan dan pengunjung akan jasa dan sumbangan pemimpin UMNO dahulu dan sekarang dalam membangunkan negara.

Perwakilan dari Perak, Zaiton Shafri, 54, berkata beliau dapat merasai betapa gagah serta hebatnya UMNO, setiap kali melangkah masuk ke ruang legar PWTC.

"Perasaan inilah yang kita mahu bila nak hadapi pilihan raya umum ke-13 nanti...kita bersatu rasa kuat dan berani hadapi apa sahaja yang pembangkang nak bagi pada kita," katanya yang lebih 20 tahun menyertai UMNO.

Zaiton berkata, poster Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap di hadapan ribuan anggota UMNO di Stadium Nasional Bukit Jalil, Mei lepas, ketika sambutan ulang tahun ke-66 parti, paling memikat hatinya kerana memaparkan kegagahan pemimpin nombor satu negara itu.

Pelajar universiti swasta, Muhammad Asrief Shafaad, 20 berkata, PWTC kelihatan begitu meriah dengan paparan poster dan panji berwarna merah di sepanjang laluan masuk bangunan itu.

"'Bunting' yang ada gambar anggota UMNO berbaju merah berarak yang digantung menghiasi di dinding laluan masuk membuatkan kita rasa hendak berarak bersama mereka. Ini menaikkan semangat orang muda macam saya nak pergi perhimpunan ini.
"Ada juga gambar menunjukkan ramai orang muda bersama menyertai aktiviti UMNO ini seperti perarakan menaiki basikal dan motosikal ramai-ramai ini tunjukkan kekuatan sokongan orang muda pada Umno," kata anak muda dari Petaling Jaya itu.

Seorang peniaga perhiasan rumah Abdul Zuhid Asmawi, 35, pula berkata, poster pemimpin terdahulu bekerja membela nasib rakyat memberikan pengajaran kepada generasi muda tentang pengorbanan mereka bagi membolehkan rakyat hari ini mengecap kesenangan.

"Saya amat tertarik dengan poster Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) yang diletakkan di kawasan eskalator kerana menunjukkan betapa gigihnya usaha beliau memajukan negara.

"Digabung dengan poster anaknya (Najib) yang turut bekerja segigih ayahnya nampak kesinambungan dan kegagahan usaha UMNO membela nasib rakyat di negara ini," katanya yang menganggotai Umno lebih 10 tahun. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Bapa selamatkan anak dalam kebakaran tiga rumah kedai

KOTA BHARU: Seorang bapa bertindak nekad menyelamatkan anak perempuannya dengan meredah api kebakaran di tingkat atas sebuah rumah kedai tiga sederet di Kampung Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Rozman Mahmud, 44, bergegas ke tingkat atas rumah kedainya setelah diberitahu seorang pengawal keselamatan yang melihat asap daripada tingkat atas rumah kedai terbabit.

"Saya sedang membantu isteri menguruskan kedai makan di tingkat bawah apabila diberitahu mengenai asap berkepul-kepul keluar daripada tingkap di bahagian atas rumah.

"Saya terus ke tingkat atas dan menendang pintu bilik tidur anak kedua, Nusyafikah, 14, walaupun ketika itu api sedang marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kebakaran itu menyebabkan dua buah rumah kedai berdekatan kedai makan terbabit turut hangus dan menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir dua kilometer di tempat kejadian.

Rozman berkata, beliau bersyukur kerana dua lagi anaknya tidak berada di kedai kerana yang sulung sedang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah, manakala anak bongsunya ke pasar tani berdekatan rumah.

Isteri Rozman, Izaifah Ismail, 42, berkata beliau sedang melayan pelanggan dan diberitahu oleh mereka mengenai kebakaran itu yang berlaku begitu cepat.
Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.30 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian mendapati kira-kira 50 peratus rumah kedai tersebut sudah terbakar.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Keputusan Peter Chin tidak bertanding bergantung kepada pandangan PM

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini berkata, walaupun beliau memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, beliau akan mempertimbangkan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah lebih baik perkara itu tidak dibincangkan secra terbuka.

"Saya berharap untuk tidak bertanding, tetapi pada akhirnya sebagai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) saya juga perlu mengambil kira pandangan Perdana Menteri yang mengetuai pasukan untuk mendapatkan mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan.

"Semuanya terpulang kepada PM. Dan Perdana Menteri saya berpendapat beliau akan mengambil kira semua aspek," katanya.

Ogos lalu, Chin yang menjadi Anggota Parlimen sejak 1990, mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi akan kekal sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sehingga 2014. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

2 anggota polis bebas daripada tuduhan jenayah kekerasan terhadap jurugambar

KUALA LUMPUR: Dua anggota polis hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Magistret daripada pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang jurugambar semasa perhimpunan Bersih 3.0, pada 28 April lalu.

Majistret Nurulain Abdul Rahim dalam penghakimannya berkata selepas menimbangkan secara maksimum keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil, pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie terhadap Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal memenuhi segala kehendak Seksyen 352 Kanun Keseksaan untuk mahkamah memanggil kedua-dua tertuduh membela diri masing-masing.

Majistret Nurulain menegaskan mahkamah terpaksa melepaskan dan membebaskan tertuduh kerana saksi-saksi dalam kes ini gagal mengecam orang yang dikatakan telah melakukan jenayah kekerasan terhadap pengadu, jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King.

Selain Wong, pihak pendakwaan telah memanggil empat saksi yang lain, termasuk dua jurugambar lain yang dikatakan sudah menyaksikan kejadian terbabit.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Wong, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja antara jam 5.20 petang dan 5.30 petang.

Mohd Khairul Asri, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanjung Malim, Perak manakala Shahrul Niza, dari IPD Dang Wangi, didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh manakala Mohd Khairul dan Shahrul Niza diwakili Salim Bashir. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Pengundi muda Sabah perlu berfikiran terbuka dan tidak emosional

KUALA LUMPUR: Pengundi muda di Sabah perlu berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu perkara dengan melihat dari segi jangka panjang dan tidak terlalu mengikut emosi, kata Ketua UMNO Bahagian Ranau, Sabah Datuk Masidi Manjun.

"Justeru saya berharap semua pengundi muda di Sabah dapat berfikiran terbuka dalam memilih pemimpin yang boleh memberi jaminan kepada masa depan mereka dan bukannya mempertaruhkan sokongan kepada pihak yang boleh merosakkan bangsa dan negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Masidi, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, pemimpin di negeri itu tidak mempunyai masalah dengan pengundi muda berikutan sikap keterbukaan yang diamalkan selama ini.

"Sikap keterbukaan adalah kunci utama pemimpin untuk mendekati golongan muda dan sikap seperti itu sudah tertanam dalam diri semua pemimpin di Sabah sejak dulu. Kita seringkali menganjurkan acara melibatkan semua golongan muda," katanya.

Masidi berkata, pengundi muda Sabah seharusnya tidak mempunyai masalah menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 kerana kerajaan yang ada sentiasa menjaga hak mereka dengan baik.

Mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai penglibatan golongan muda dalam pilihan raya umum ke-13, Masidi berkata golongan muda perlu diberi peluang menonjolkan bakat untuk menjadi pemimpin kerana ia adalah proses meremajakan parti.

"Perkara itu perlu dilakukan kerana golongan muda merupakan pelapis untuk masa depan parti," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, parti perlu mendidik pemimpin muda secara sistematik dan memilih golongan muda yang mempunyai bakat untuk menjadi pemimpin.

"Kita perlu melihat apa yang dilakukan di beberapa negara, contohnya China.
Mereka mendidik pemimpin muda secara sistematik untuk dijadikan pengganti pemimpin yang sudah berumur...oleh itu proses untuk menggantikan pemimpin yang sudah tua dapat dijalankan dengan senang," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Perhimpunan Agung 2012 tampak lebih kuat, bersemangat: Tun M

Written By Unknown on Kamis, 29 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Perhimpunan Umno 2012 sebagai lebih kuat dan bersemangat, tanda semua perwakilan serta Umno secara keseluruhannya telah siap sedia untuk 'berperang' menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya kagum dengan semua perwakilan yang hadir pada perhimpunan kali ini apabila kesemuanya nampak lebih bersemangat, lebih-lebih lagi ketika presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) berucap.

"Saya nampak semangat pada perhimpunan kali ini lebih kuat... bahkan lebih kuat daripada perhimpunan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Dr Mahathir yang kelihatan segak dengan berbaju Melayu jingga, menyifatkan ucapan perasmian Najib pada tahun ini sebagai satu ucapan yang hebat.
"Beliau (Najib) telah menjawab segala tomahan, tuduhan dan fitnah yang selama ini dilontarkan oleh parti-parti pembangkang terhadap Umno," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Negara hilang kedaulatan ekonomi jika Buku Jingga pembangkang dilaksana: Najib

KUALA LUMPUR: Negara akan hilang kedaulatan ekonomi seperti Greece jika manifesto pembangkang yang digariskan melalui 59 janji dalam Buku Jingga dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pelaksanaannya akan menjurus kepada defisit bajet kerajaan pusat melonjak kepada hampir 30 peratus pada tahun pertama, dan kadar nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melambung 140 peratus menjelang 2015.

"Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti Greece.

"Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?" soal Najib yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, hari ini.

Beliau berkata, inilah tahap kualiti dan ketidakmampuan perancangan ekonomi parti lawan yang tidak langsung mengejutkan.

"(Ini) kerana semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada 1997 hingga 1998, terbukti, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya yang kini menjadi ketua pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap," kata Najib tanpa menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan beliau (Anwar) memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan, menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak, khususnya masyarakat perniagaan.
Sebaliknya, Najib berkata, di bawah kepimpinan Barisan Nasional, Malaysia kini antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM1 trilion.

Malaysia juga diiktiraf Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.

Bank Dunia pula mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, manakala Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula menilai status Malaysia sebagai negara yang mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang tinggi.

Najib menarik perhatian, Dasar Transformasi Nasional yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi memastikan Wawasan 2020 tercapai.

Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi baharu misalnya, menjadikan pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus antara 2009 dan 2011, iaitu daripada AS$6,700 kepada AS$9,700.

"Kemuncaknya nanti ialah mencapai pendapatan per kapita US$15,000. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi iaitu AS$12,476, ia jelas menunjukkan Malaysia sudahpun berada pada landasan yang betul untuk mencapai taraf tersebut lebih awal," katanya.

Tambah beliau, perjuangan UMNO sejak merdeka memperlihat kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar selain berjaya menangani permasalahan kemiskinan.

"UMNO akan terus memperjuang agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di negara tercinta ini," tegas Najib. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Bandaraya Miri lokasi kedua latihan menjelang PRU-13 Polis Sarawak

MIRI: Polis Sarawak bakal mengadakan latihan kedua pra-Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Sabtu ini untuk menilai tahap persediaan dari segi logistik dan sumber manusia bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Ketua Polis Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata latihan pertama pra-PRU-13 ini diadakan di bandaraya Kuching pada Ogos lalu dan bandaraya Miri dipilih lokasi kedua berikutan keluasan geografi bandaraya tersebut yang kedua terbesar di negeri ini.

"Semua Ketua Polis Daerah (OCPD) di Sarawak akan menghadiri latihan tersebut sebagai pemerhati," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mun berkata, latihan itu akan berjalan serentak di seluruh negara pada Sabtu ini dengan tempoh masa latihan akan bermula pada 8 pagi hingga 9 malam dan di bandaraya Miri dua lokasi sudah dikenal pasti untuk tujuan latihan tersebut.

"Lokasi tersebut ialah di tempat letak kereta Boulevard Shopping Mall dan tempat letak kereta Stadium Tertutup dan Terbuka Miri," katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu cemas dengan kehadiran ramai polis dan kenderaan sewaktu latihan tersebut dijalankan dan jika ada sebarang keraguan boleh menghubungi bilik gerakan ibu pejabat polis daerah Miri iaitu 085-433400.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, persediaan sumber manusia antara yang diberi perhatian dalam pilihan raya umum akan datang kerana Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen yang terbanyak berbanding negeri lain.
Acryl berkata, tambahan anggota lebih 400 orang akan dilakukan kesemua 27 pejabat polis daerah di Sarawak.

Pada PRU-13 Sarawak hanya akan mengadakan pilihan raya Parlimen kerana pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diadakan pada 2010.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya membantu polis Brunei menyelesaikan satu kes kecurian kenderaan pacuan empat roda dengan menahan tiga lelaki - seorang rakyat Brunei dan dua rakyat Malaysia.

"Hasil maklumat polis Brunei pada 26 November kita berjaya mengesan dan menahan tiga suspek tersebut di Pulau Melayu di Miri bersama dengan kenderaan curi tersebut," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan diserahkan kepada polis Brunei untuk tindakan selanjutnya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

4 teras amanat Presiden perlu penghayatan: Perwakilan UMNO

KUALA LUMPUR: Inti pati ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengetengahkan empat teras utama untuk membuktikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN), khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua UMNO Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, berkata empat teras itu berkaitan kepercayaan, keperkasaan, kestabilan parti dan harapan baru kepada rakyat dan pengundi.

"Seperti kita tahu, UMNO sebuah parti yang stabil dan kalau kita menang, kita tahu apa kita nak buat... kita tak mahu rakyat menggadaikan masa depan mereka dengan memilih parti yang tidak menentu.

"Tukar (kerajaan) mudah, tapi tak semestinya ia dapat membantu rakyat," katanya ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan UMNO 2012, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Idris Haron, pula menyifatkan ucapan Najib mengandungi pesanan yang cukup tegas kepada semua perwakilan supaya mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan antara ahli.

"Tiada elemen sabotaj dalam parti dan ini mesej jelas kepada setiap ahli supaya UMNO boleh berada dalam keadaan yang diharapkan serta mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada negara," katanya.

Seorang lagi MT UMNO, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata, Presiden yang juga Perdana Menteri memberi jaminan kepada anak muda Malaysia bahawa impian dan harapan mereka akan terus dibela sama seperti anak muda Melayu ketika ini.
"Bukan saja bangsa Melayu yang perlu terus dibela, bahkan rakyat Malaysia yang lain juga menjadi tanggungjawab kepada beliau (Datuk Seri Najib) supaya masa depan, impian dan harapan mereka menjadi kenyataan," katanya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang juga Ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan di bawah pemerintahan BN hari ini tidak khuatir tragedi 13 Mei 1969 akan berulang walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Rais berkata, kerajaan memiliki jentera keselamatan yang cukup dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa undang-undang dalam menyelamatkan kestabilan negara.

"Jentera pentadbiran perundangan sudah diletakkan di bawah kod prosedur jenayah dan Akta Perhimpunan Aman... yang penting ia perlu dilaksanakan mengikut perkataan undang-undang yang ada.

"13 Mei 1969 tidak akan muncul kembali, ia sudah berlalu dan yang penting apa juga parti politik, kita perlu sayangi Malaysia, berjuang dengan jujur, tidak berbohong dan pastikan khidmat dilaksanakan," katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa UMNO Sipitang, Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffaee, rakyat perlu diberi penjelasan menyeluruh terhadap fitnah yang disebarkan pembangkang.

Katanya, penjelasan itu penting bagi memberi pandangan seimbang supaya rakyat dapat membezakan yang mana betul dan salah serta ke arah mana mereka perlu mengundi untuk menjamin masa depan mereka.

Exco Pemuda UMNO, Ali Mazat Salleh pula menegaskan PRU-13 nanti adalah peluang terakhir untuk rakyat memilih kepimpinan yang boleh mencorak masa depan negara.

"Ini bukan barang mainan, tapi ini satu titik tolak di mana rakyat perlu menimbang kerajaan mana yang perlu dipilih untuk mentadbir negara," katanya.


15.09 | 0 komentar | Read More

MRT: Jalan di depan Plaza Bukit Bintang ditutup mulai Sabtu

KUALA LUMPUR: Laluan kenderaan di Jalan Bulan, di hadapan Plaza Bukit Bintang, akan ditutup selama empat tahun untuk projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) mulai Sabtu ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation Sdn Bhd, Amir Mahmood Razak, berkata berikutan itu orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Bulan 1, Lorong Bintang atau melalui Jalan Imbi.

Beliau berkata, kerja pembinaan stesen itu adalah sebahagian daripada laluan bawah tanah di kawasan bandar raya yang sibuk.

"Oleh itu, kawasan kerja yang sesuai adalah terhad. Kawasan kerja perlu berada dekat dengan tapak stesen atas sebab-sebab logistik dan keselamatan binaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Amir Mahmood berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan penutupan laluan itu dan papan tanda trafik akan diletakkan untuk membantu pengguna jalan raya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengaktifkan pelan komunikasi dan notis awam bagi memaklumkan kepada semua penyewa pusat membeli-belah, hotel, tempat letak kereta, kedai runcit dan outlet berhampiran bertentangan laluan alternatif untuk ke tempat letak kereta.

"Kami bekerja rapat dengan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak berkuasa lain untuk menyebarkan maklumat trafik melalui Sistem Pesanan Maklumat Berubah (VMS)," katanya.
Amir Mahmood turut menasihatkan pemandu supaya berjaga-jaga dengan kerja yang dijalankan di kawasan tersebut dan mengikut arahan papan tanda untuk melalui Jalan Bulan.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumt trafik MRT terkini boleh melayari laman web MRT di www.mymrt.com.my atau maklumat kerja-kerja bawah tanah di www.mymrt-underground.com.my serta twitter di @MRTMalaysia atau @MyMRT Undergroud atau terus menghubungi Hotline MRT di 1-800-82-6868.

Projek MRT melibatkan aliran Sungai Buloh-Kajang yang terdiri daripada 31 stesen dijangka memberi perkhidmatan kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluannya.

Apabila siap kelak, ia akan disepadukan secara strategik dengan rangkaian pengangkutan rel Kuala Lumpur sedia ada iaitu Light Rail Transit (LRT), Monorail dan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) serta perkhidmatan bas intra dan inter-bandar. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

UMNO sudah sedia lalui peralihan generasi

Written By Unknown on Rabu, 28 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) memikul tugas berat untuk memikat hati 42 peratus pengundi muda yang akan memberi impak kepada keputusan pilihan raya umum ke-13, penentu parti mana yang akan meneraju Malaysia.

Tanggungjawab dan peranan untuk meraih undi kira-kira 5.37 juta pengundi berusi bawah 40 tahun ini mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh kerana UMNO dan BN bersaing dengan parti pembangkang untuk mendapatkan sokongan, sekali gus memenangkan parti masing-masing.

Agenda memenangi hati dan minda pengundi generasi Y adalah antara yang disentuh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak semasa menyampaikan amanat kepada barisan pimpinan jawatankuasa bahagian, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 semalam.

Berdasarkan statistik suku ketiga Daftar Pemilih 2012 Suruhan Pilihan Raya, sejumlah 13.1 juta pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Sebanyak 18.07 peratus atau 2.37 juta pengundi terdiri daripada kumpulan umur antara 21 dan 29 tahun manakala 22.8 peratus atau hampir tiga juta terdiri daripada kumpulan umur antara 30 dan 39 tahun.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh ketika ditemui Bernama, merumuskan amanat Perdana Menteri memberi isyarat jelas bahawa UMNO sudah bersedia untuk melalui peralihan generasi, iaitu menampilkan orang muda untuk memimpin parti dan negara.

Muhammad Khairun berkata, konsep pengorbanan yang menghendaki pemimpin lama memberi laluan kepada golongan muda sebagai calon, terserlah dalam amanat Presiden parti kepada anggota UMNO, semasa beliau membincangkan isu taktikal UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Katanya, rata-rata anggota juga dilihat senada dengan Najib, melafazkan ikrar janji setia untuk bersatu padu dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi parti.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Seputeh Muhammad Razlan Muhammad Rafii pula berkata UMNO kini dilihat memberi peluang seluasnya kepada generasi muda untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

Beliau berkata, pelbagai langkah yang diambil UMNO, parti terbesar di negara ini yang sudah berusia 66 tahun, sering melibatkan dan memberi peluang golongan muda untuk turut sama memberi pandangan mereka dalam soal pentadbiran. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Kilang terbakar di Bangladesh buat produk jenama Western

DHAKA: Buku tempahan dan pakaian yang ditemui di kilang di sini ketika kebakaran mengorbankan 112 orang menunjukkan operasinya ialah membuat pakaian untuk Disney Pixar, Wal-Mart, Sears dan produk jenama Western lain.

Penemuan The Associated Press mendapati pakaian dan rekod berkaitan peruncit produk berkenaan ketika polis mengumumkan penahanan tiga pegawai kilang yang disyaki mengunci pekerja dalam kilang terbabit.

Antara produk yang dijumpai termasuk timbunan seluar pendek kanak-kanak dari jenama Wal-Mart di kilang Tazreen Fashions Ltd. - AP
15.09 | 0 komentar | Read More

Pelajar Kolej Komuniti maut kereta rempuh pagar rumah

MELAKA: Seorang pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut selepas keretanya merempuh pagar dan garaj sebuah rumah di Kampung Lubok Redan awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi itu, Muhammad Nadzrin Mohd Safar, 19, sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah ke Kuala Sungai Baru sebelum kereta jenis Proton Waja yang dipercayai dipandu laju itu terbabas di selekoh.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, kenderaan mangsa kemudiannya merempuh pagar sebuah rumah milik seorang pekerja Majlis Perbandaran Alor Gajah sebelum berpusing dan merempuh garaj.

"Rempuhan terbabit menyebabkan garaj bertiang batu yang menempatkan sebuah kereta dan motosikal roboh sebelum menghempap kenderaan pemilik rumah itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan tersepit di tempat duduk hadapan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

10 terima bantuan sempena Karnival Kesihatan Wanita UMNO

KUALA LUMPUR: Seramai 10 orang termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pesakit angin ahmar menerima sumbangan wang tunai dan cenderahati sempena perasmian Karnival Kesihatan anjuran Pergerakan Wanita UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Kesemua mereka adalah penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan.

Sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada pelancaran itu, Muhyiddin turut meluangkan masa menandatangani kain rentang bagi menyokong kempen Inisiatif Malaysia Bebas Asap Rokok.

Pengerusi Sekretariat Kebajikan Wanita UMNO, Datuk Hasnah Salam berkata, tarikan terbaru pada karnival kesihatan kali ini adalah gerai pemeriksaan paru-paru untuk perokok.

Hasnah berkata, ia adalah sebahagian langkah untuk menjayakan kempen JOM Tak Nak Merokok! bagi mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.

"Kita galakkan mereka yang mahu berhenti merokok atau pun perokok tegar datang buat pemeriksaan di gerai ini untuk tahu keadaan kesihatan paru-paru mereka," katanya kepada BH Online.
Hasnah berkata, turut diadakan ialah saringan kesihatan, pemeriksaan kanser payudara, pengesanan kanser pangkal rahim serta pendaftaran penderma organ dan semuanya adalah percuma.

Sementara itu, kaunselor berdaftar Klinik Berhenti Merokok, Klinik Kesihatan Tanglin, Swinder Jit Jag Singh berkata, ujian asap rokok atau ujian paru-paru dibuat menggunakan alat dikenali sebagai 'CoPPM'.

Beliau berkata, perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok digalak ke klinik berkenaan yang bukan saja menawarkan pemeriksaan percuma, malah terapi gantian nikotin (NRT) seperi gam NRT, penyedut NRT dan penampal NRT juga diberi percuma.

Turut diadakan adalah Terapi 1Malaysia yang juga satu alternatif untuk mengesan dan merawat masalah kesihatan yang dihidapi seperti kencing manis dandarah tinggi.

Karnival Kesihatan yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu dijangka dikunjungi seramai 3,000 orang, berbanding 2,500 pada penganjuran tahun lalu.


15.09 | 0 komentar | Read More

Puteri UMNO disaran teraju trend generasi muda

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO perlu menjadi peneraju gelombang atau "trend-setter" dalam kalangan generasi muda negara ini untuk memastikan mereka terus menyokong pimpinan negara pada masa akan datang.

Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed berkata untuk itu, Puteri perlu membuat kajian terperinci mengenai trend yang akan melanda dunia dan mencetuskan anjakan paradigma baru terhadap pemikiran serta sikap generasi muda.

"Puteri UMNO perlu berfikir di luar kotak dan melampaui masa yang akan datang. Contohnya penekanan dan pendedahan kepada pimpinan negara dan pentadbiran dibuat seawal usia persekolahan lagi," katanya.

Saranan itu antara empat perkara yang diusulkan beliau ketika membentangkan usul terima kasih atas ucapan dasar ketua pergerakan itu pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2012, di sini hari ini.

Salbiah berkata, peralihan sokongan generasi muda kepada pembangkang yang dikatakan berlaku pada pilihan raya umum ke-12 lalu tidak boleh dibiarkan berterusan pada pilihan raya umum akan datang.

Saranan kedua ialah memastikan orang muda memahami prinsip perjuangan, bukan sekadar mengikut tradisi ibu bapa masing-masing, katanya.

Salbiah berkata, perjuangan harus lahir daripada kesedaran dan kecintaan yang mendalam terhadap parti yang banyak berjasa dan seterusnya menjadi rakyat yang tahu berterima kasih.
Beliau turut menyarankan UMNO mempelopori semula program berbentuk keagamaan bagi menangkis label parti anti-Islam, dengan memberi ruang kepada ulama muda menyuarakan pandangan dan idea masing-masing.

Dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, beliau berkata anggota Puteri perlu kekal bersatu dan setia dengan parti walaupun menghadapi onak berliku.

Sementara itu dalam ucapan menyokong usul, Ketua Puteri UMNO bahagian Selayang Nor Hamizah Mat Tahir berkata, UMNO hari ini menjadi sasaran utama pembangkang kerana perasaan cemburu terhadap parti itu yang mendapat sokongan daripada rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Nor Hamizah berkata, UMNO sebagai tunjang utama dalam BN perlu memenangi pilihan raya umum ke-13 supaya usaha untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini dapat terus dilaksanakan. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

SPR kenal pasti 18 NGO tempatan, pemerhati ASEAN pantau PRU-13

Written By Unknown on Selasa, 27 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengenal pasti 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk menjadi pemerhati domestik, selain pemerhati negara ASEAN untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihak SPR mengadakan pertemuan dengan NGO tempatan berkenaan dari seluruh negara bagi membincangkan syarat pelantikan dan rangka kerja pemantauan.

Katanya, NGO yang dikenal pasti itu adalah pertubuhan bebas yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"SPR sudah mengenal pasti enam NGO di Semenanjung, sembilan di Sarawak dan tiga di Sabah. Pelantikan dan pemilihan NGO akan dimuktamadkan minggu depan. Kesemua NGO ini perlu mematuhi syarat yang ditentukan serta dikehendaki menandatangani Aku Janji Kerja.

"Namun, ia terpulang untuk NGO sama ada menerima syarat pelantikan SPR atau menolak lantikan itu," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Hello Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen BernamaTV di sini, semalam.

Wan Ahmad berkata, SPR akan memberi taklimat kepada semua petugas NGO itu mengenai bertanggungjawab mereka dan proses perundangan dan perjalanan pilihan raya demi kepentingan masa depan negara.

Katanya, SPR memberi kelonggaran kepada NGO tempatan berkenaan untuk membuat pemantauan dari tempoh pembubaran Parlimen hingga keputusan pilihan raya serta membuat laporan berasas kepada fakta, dan bukannya sekadar andaian, persepsi atau dengar cakap.
"Jika kita mendapati mana-mana pihak yang melanggar peraturan syarat-syarat Aku Janji, atau berkempen untuk mana-mana pihak atau menemuramah pengundi, maka SPR akan menamatkan pelantikan itu," katanya.

Bagi pemerhati negara ASEAN pula, Wan Ahmad berkata, langkah SPR untuk mengundang negara jiran sebagai pemerhati antarabangsa merupakan satu langkah timbal balik dan menghormati langkah negara jiran yang menjemput Malaysia untuk memerhati serta memantau pilihan raya di negara masing-masing.

Katanya, negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Filipina akan dijemput sebagai pemantau dan akan menjalankan tugas itu secara profesional, memahami proses pilihan raya dan menghormati undang-undang negara ini.

Katanya, SPR sebelum ini turut menghantar seorang pegawai untuk menyertai delegasi pemerhati Malaysia semasa Pilihan Raya Myanmar tahun lalu.

Ahad lalu, akhbar tempatan memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia bersedia membawa beberapa pemerhati Asean untuk pantau pilihan raya umum ke-13 supaya mereka akan lihat ia berjalan ikut Perlembagaan, undang-undang negara dan kesahihan keputusan rakyat tak boleh dipertikaikan.

Wan Ahmad berkata: "Pemerhati dalam negara tetap menjadi pilihan utama kerana rakyat negara kita yang berhak memerhati, memantau, membuat laporan serta mengadakan sidang media untuk memberitahu kepada rakyat, apa yang diperhatikan semasa pilihan raya umum ke-13 kelak".

Beliau berkata, langkah menjemput pemerhati dari negara ASEAN untuk memantau pilihan raya umum di Malaysia bukan bermakna "apabila kita mengundang kerajaan lain untuk pantau proses pilihan raya yang ditentukan oleh rakyat, ia seolah-olah membenarkan orang luar ceroboh kedaulatan negara kita".

Mengenai pendirian SPR terhadap permintaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang kerajaan Australia untuk memastikan pilihan raya di negara ini bebas dan bersih, beliau berkata:

"Pendirian SPR sebenarnya jelas. Memang tidak wajar sama sekali kita menjemput kerajaan asing datang campur tangan dalam urusan menentukan proses pemilihan kerajaan di negara kita. Ini adalah kerana Malaysia bukan pertama kali menjalankan pilihan raya dan bukan sebuah negara yang baru mendapat kemerdekaan."

Wan Ahmad berkata, proses menentukan kerajaan memerintah adalah hak mutlak rakyat Malaysia kerana pilihan raya membabitkan kedaulatan negara.

"Motif Ketua Pembangkang ialah untuk menanamkan satu perasaan simpati, yang mereka (parti pembangkang) adalah 'underdog' di kalangan para penyokong, rakyat am khususnya pengundi atas pagar dan pihak luar. Ini adalah rangka dan agenda perancangan yang rapi.

"Motif kedua Anwar ialah untuk mendapat tarikan dan simpati dunia dan pihak antarabangsa supaya tekanan demi tekanan akan datang untuk Malaysia," dakwanya.
Beliau berkata sekiranya kerajaan Australia menerima pelawaan itu, sudah tentu kerajaan itu akan menulis secara rasmi kepada kerajaan Malaysia dan SPR.

Mengenai undi pos untuk petugas media, Wan Ahmad berkata SPR akan memuat naik Borang 1 di laman web SPR supaya semua anggota media boleh mendaftar sebagai pengundi pos menjelang PRU-13.

Katanya, petugas media boleh dikategorikan pengundi pos di bawah Perkara 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003 dengan syarat mereka telah terlebih dahulu mendaftar sebagai pengundi.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana petugas media perlu memohon kepada pegawai pengurus di bahagian mereka mendaftar sebagai pengundi untuk diwartakan sebagai pengundi pos.

"Petugas media juga tidak boleh menukar status kepada pengundi biasa selain ia hanya sah untuk satu pilihan raya sahaja," katanya.

Sebagai pesanan SPR kepada rakyat, Wan Ahmad meminta rakyat Malaysia untuk mempercayai SPR sebagai sebuah badan yang telus, bebas serta mempunyai tanggungjawab yang besar kepada perlembagaan dan rakyat, dan tidak membuat tuduhan dan fitnah terhadap badan itu sewenang-wenangnya.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

BN kekalkan keamanan, kestabilan negara: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Barisan Nasional adalah parti yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, berlandaskan prinsip dan kerjasama yang terjalin antara parti komponen.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, berpandu kepada prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan dan kesungguhan politik untuk bekerjasama dengan parti komponen membolehkan perbincangan dilakukan serta menyelesaikan sesuatu isu, walaupun ia membabitkan isu besar.

"Mengelakkan konflik adalah jalan terbaik berbanding berusaha menamatkan konflik bagi melindungi rakyat daripada keganasan dan kemusnahan.

"Ia adalah kehendak untuk kehidupan yang aman dan harmoni dalam semangat kebersamaan antara rakyat pelbagai kaum, etnik

dan agama," katanya ketika berucap menutup Forum Antarabangsa UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 bertajuk "Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat-Melihat kehadapan atau kebelakang?".

Penyertaan peserta bagi forum itu meningkat kepada 127 delegasi berbanding 80 bagi tahun lalu.


15.09 | 0 komentar | Read More

Kastam Sabah gagalkan cubaan dadah bernilai RM400,000

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 1.5 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM400,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam.

Suspek lelaki warga Pakistan berusia 35 tahun dan fasih berbahasa Melayu itu dipercayai baru tiba dari Brunei dalam keadaan mencurigakan ditahan di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, KKIA pada 7.30 malam.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Janathan Kandok, berkata pemeriksaan ke atas bagasi milik suspek mendapati satu beg plastik yang mengandungi dua bekas paket plastik jenama gula keluaran Indonesia bersama pakaian dan barang lain.

"Selepas pemeriksaan lanjut dibuat ke atas kedua-dua bekas paket plastik itu pegawai terbabit menjumpai serbuk kasar menyerupai seakan-akan gula yang disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Kandok berkata, suspek adalah seorang peniaga runcit tekstil berkahwin dengan warga tempatan dan menetap di Papar, dipercayai sering berulang-alik ke luar negara termasuk Brunei dan Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Ini adalah kes kedua bagi tahun ini oleh Kastam Sabah membabitkan cubaan untuk menyeludup dadah melalui pintu masuk lapangan terbang dan kes ini berlaku dalam tempoh seminggu dari kes pertama," katanya.
Katanya, kes pertama yang membabitkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta di KKIA pada Ahad lalu masih dalam siasatan dan dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat.

Kandok berkata, sebanyak 16 kes membabitkan penyeludupan dadah dikesan dan tujuh orang pesalah dihukum gantung sampai mati atas kesalahan itu dari 2005 hingga tahun ini.

Beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana pejabat Kastam berdekatan atau talian bebas tol 1-800-88-8855 sekiranya mempunyai maklumat berhubung penyeludupan dan pengedaran dadah.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

MAKNA rancang kerjasama dengan penyelidik asing tingkat kaedah rawatan kanser

KUALA LUMPUR: Majlis Kanser Nasional (MAKNA) merancang menjalinkan kerjasama dengan penyelidik antarabangsa dalam usaha meningkatkan teknik dan kaedah rawatan kanser di rantau Asia Tenggara.

Pengasas merangkap presiden MAKNA, Datuk Mohd Farid Ariffin, berkata usaha

itu akan dimulakan dengan pembukaan pusat MAKNA di negara Asia Tenggara dalam masa tiga tahun akan datang. "Sudah tiba masa, MAKNA menyebarluaskan peranannya membantu pesakit kanser di sekitar rantau Asia Tenggara dengan bantuan pertubuhan di sana selain membantu pesakit di negara ini.

"Apatah lagi dalam usaha meningkatkan kajian bagi mencari lebih banyak penawar penyakit ini, kita (MAKNA) sentiasa akan membantu dari segala segi," katanya kepada media di Majlis Anugerah Penyelidik Kanser MAKNA 2012 di Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini, hari ini.

Pada tahun ini empat penyelidik berdaftar dengan ASM menerima anugerah itu berupa geran tunai antara RM15,000 ke RM30,000 dan disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Paduka Prof Dr Khatijah Mohd Yusoff.

Mohd Farid berkata, usaha penyelidikan penyakit kanser menjadi antara agenda utama MAKNA selain memberi bantuan pembiayaan rawatan bagi pesakit kanser sejak pertubuhan itu diasaskan pada sekitar 1995.
Katanya, sejak 2001 hingga kini MAKNA memperuntukkan sejumlah RM10.3 juta dalam bentuk anugerah geran kepada 36 penyelidik di negara ini yang menjalankan
kajian ke atas kanser.

"Justeru itu seboleh mungkin MAKNA mahu berkongsi sumbangan dengan mewujudkan pusat di setiap negara Asia Tenggara dan negara Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha membantu pesakit kanser seluruh dunia," katanya.

Katanya, sejak 1996, MAKNA membantu kos rawatan 24,000 pesakit kanser negara ini membabitkan kos RM46 juta.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan kes kanser daripada 88 hospital kerajaan
seluruh negara yang dirujuk kepada MAKNA.

"Itu antara objektif MAKNA, membantu mereka yang ditimpa musibah berganda, berjuang melawan kanser dalam masa yang sama terpaksa menghadapi ketidakmampuan
menanggung kos rawatan penyakit itu," katanya.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

LKIM sentiasa bantu nelayan tingkat taraf hidup mereka

KEPALA BATAS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)terus membantu nelayan dengan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk secara berkala bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengarah LKIM Pulau Pinang, Raja Khalid Raja Ariffin berharap bantuan yang disalurkan kepada nelayan di negeri itu seperti skim baik pulih rumah dan sumbangan peralatan menangkap ikan berupaya mengeluarkan mereka dari garis

kemiskinan."Diharap sumbangan itu tidak akan disalah guna terutama elaun bulanan sebanyak RM200, kita sentiasa memikirkan kebajikan mereka yang bergantung hidup dengan sumber rezeki dari laut.

"Ia juga sebahagian daripada usaha membantu golongan nelayan meringankan beban hidup selain merangsang mereka untuk memajukan diri dalam sektor perikanan," katanya kepada pemberita selepas majlis bayaran Elaun Sara Hidup kepada 775 nelayan Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kepala Batas, Datuk Azhar Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga.

Raja Khalid berkata, bantuan peralatan menangkap ikan yang diberikan kepada
nelayan berjaya menambahkan hasil tangkapan mereka.
"Bantuan peralatan menangkap ikan akan membolehkan mereka melipat ganda usaha dan memudahkan perolehan hasil tangkapan berbanding menggunakan peralatan yang rosak serta gagal diganti seperti sebelum ini.

"Selain itu, skim baik pulih rumah nelayan yang kita jalankan adalah untuk memberi keselesaan kepada keluarga penerima yang mempunyai rumah rosak dan ini
juga secara tidak langsung memberi kebaikan kepada keluarga mereka untuk jangka
masa panjang," katanya.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Lebuh raya SMART ditutup untuk penyelenggaraan

Written By Unknown on Senin, 26 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) akan ditutup kepada lalu lintas mulai jam 11 malam, 28 November dan dibuka semula 6 pagi keesokannya untuk kerja penyelenggaraan sistem terowong lebuh raya itu.

SMART dalam kenyataan hari ini berkata, pengguna boleh menghubungi SMART di talian 1-300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan mengenai penutupan itu.

- BERNAMA
15.09 | 0 komentar | Read More

Harga minyak murah punca penyeludupan berlaku

KUALA LUMPUR: Harga petrol dan diesel yang lebih murah berbanding di negara jiran adalah punca utama berlakunya aktiviti penyeludupan yang mana pihak yang tidak bertanggungjawab mampu mengaut keuntungan begitu mewah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, walaupun kerajaan menghapuskan subsidi, harga minyak di negara ini masih murah sehingga membawa kepada aktiviti penyeludupan bahan itu termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Bagi RON95 di Malaysia, harga subsidi petrol di negara ini adalah RM1.90 seliter manakala di Thailand RM4.85 seliter. Diesel pula adalah RM1.80 seliter dan di Thailand RM3 seliter.

"Daripada perbezaan harga itu, menunjukkan memang mewah dan berbaloi untuk membuat ketirisan atau penyeludupan.

"Katalah jika kita hapuskan subisidi, harga RON95 tanpa subsidi jadi RM2.72 seliter manakala diesel pula RM2.75 seliter. Ini masih lagi murah," kata Rohani ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau).

Ismail ingin tahu mengenai keupayaan pegawai penguatkuasa kementerian berkaitan menangani masalah penyeludupan bahan subsidi seperti diesel dan petrol.

Rohani berkata, kementerian bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau kegiatan penyeludupan.
Katanya, sehingga 31 Oktober lalu, terdapat 601 kes rampasan petrol dan diesel di sempadan membabitkan nilai hampir RM5 juta berbanding tahun lalu 812 kes rampasan minyak dan diesel dengan nilai mencecah RM3 juta.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Bakar kereta, seorang lelaki ditahan

GEORGETOWN: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian membakar dua buah kereta di taman perumahan di Jalan Selama, Jelutong awal pagi tadi ditahan beberapa jam kemudian.

Lelaki yang berumur 27 tahun itu ditahan di kawasan perumahan yang sama.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Gan Kong Meng, berkata suspek mempunyai rekod kesalahan berkaitan senjata api dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi yang menyebabkan kereta Perodua MyVi dan Honda City musnah.

"Menurut pemilik kenderaan berkenaan, jirannya ternampak seorang lelaki bergegas meninggalkan tempat kejadian dengan motosikal sejurus kebakaran berlaku," katanya kepada pemberita, hari ini.

Kes disifatkan sebagai perbuatan khianat yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Taktik pembangkang untuk tuduh kerajaan tipu dalam pilihan raya: Tun M

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi bebas jika pihak luar dibiar campur tangan dalam menentukan kerajaan yang memerintah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Riba Dunia Ketiga hari ini, Dr Mahathir mendakwa hasrat pembangkang menjemput pemerhati luar untuk memantau pilihan raya umum ke-13 sebenarnya bertujuan menuduh kerajaan menipu dalam pilihan raya.

"Tujuan satu saja, dia (pembangkang) kalah dia nak buat demonstrasi tentang penipuan dalam pilihan raya. Kerajaan tipu sebab itu parti kerajaan menang. Itu saja.

"(Pembangkang) Nak buat rusuhan macam di negeri Arab supaya dapat jatuhkan kerajaan di luar daripada sistem pilihan raya," katanya apabila ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia Senator Bob Carr meminta negara itu membantu memantau pilihan raya di Malaysia.

Ditanya mengenai pemerhati bebas yang dijemput semasa pilihan raya umum lepas, Dr Mahathir berkata: "Secara rasmi kita tak jemput, tapi kalau dia nak datang dan tengok, tengoklah.

"Tak ada negara yang mana parti kerajaan boleh kalah di lima buah negeri... tak dapat dua pertiga kerusi di Parlimen. Kalau betul dia (kerajaan) nak tipu, saya ingat parti lawan (pembangkang) tak boleh menang lima buah negeri," katanya.

Persidangan Riba Dunia Ketiga membincangkan isu riba dan kaitannya terhadap kemelesetan ekonomi global yang berpanjangan, inflasi dan pergolakan sosial yang melanda dunia ketika ini.
Persidangan dianjurkan oleh Thinkers Trends Malaysia Resources dengan kerjasama Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Al Ghazzali untuk Sains Islam dan Pembangunan Manusia (Australia). - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

ADUN Permatang dakwa kerajaan Selangor sekat usaha SYABAS kurangkan NRW

SHAH ALAM: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional di Selangor mendakwa kerajaan negeri menyekat usaha Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengurangkan kadar pengeluaran air tidak terhasil (NRW) di negeri itu sejak 2009.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang, Sulaiman Abdul Razak, berkata kerajaan negeri menyekat perbelanjaan modal ataupun Capital Expenditure (CAPEX) mengakibatkan syarikat konsesi air berkenaan tidak mampu melaksanakan kerja penyelenggaraan untuk mengurangkan kadar NRW.

"Kerajaan negeri membekukan semua CAPEX yang mengkhususkan kepada kerja pemulihan paip NRW sejak 2009.

Justeru, kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan SYABAS atas kegagalan mengurangkan NRW, tetapi sepatutnya ditanggung oleh kerajaan negeri sendiri," katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Karim Mansor (BN-Tanjung Sepat) pada persidangan DUN, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata melalui perjanjian antara SYABAS, kerajaan negeri dan kerajaan pusat, SYABAS perlu mengurangkan kadar NRW kepada paras 27 peratus pada 2009, 19 peratus pada 2012 dan sebanyak 15 peratus pada 2015.

"NRW yang dicapai pada 2012 ialah sebanyak 32.6 peratus. Apa yang jelas, Syabas tidak fokus kepada apa yang dipanggil 'water resources management'," katanya.

Dewan turut menjadi tegang seketika apabila Abdul Khalid menuduh Sulaiman sebagai wakil SYABAS ketika bangun untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu NRW di Selangor. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Muhyiddin mahu pemimpin muda pertahan asas perjuangan pemimpin terdahulu

Written By Unknown on Minggu, 25 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pemimpin muda hari ini supaya mempertahankan asas perjuangan pemimpin terdahulu supaya ia tidak diganggu gugat oleh pihak pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak pembangkang akan sentiasa mencari jalan untuk menggagalkan segala program transformasi yang sudah dan sedang dijalankan kerajaan.

"Situasi sekarang ini ada pihak yang mahu 'lokomotif' yang kita letakkan di atas landasan supaya ia dapat 'diderailkan' (digelincirkan), di hala ke tempat lain lalu menjunam jatuh ke gaung yang mungkin akan membawa bahaya besar kepada negara kita.

"Sebab itu sebagai pemimpin masa depan, saudara harus pertahankan ini supaya keretapi yang sudah ada di atas landasan yang betul ini jangan diganggu gugat hingga boleh menyebabkan program transformasi kita gagal, kerana dengan kegagalan itu Malaysia tidak boleh mencapai tahap negara maju," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika menutup Wacana dan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Nasional yang dihadiri kira-kira 3,500 mahasiswa universiti dan kolej swasta tempatan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Ahli Parlimen disaran sumbang RM5,000 untuk projek 'House Build'

ALOR SETAR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung menyarankan supaya semua ahli Parlimen memperuntukkan RM5,000 bagi membantu rakyat miskin membaiki rumah melalui projek 'House Build' yang dilancarkan kementeriannya.

Beliau berkata, jika semua ahli Parlimen dapat menyalurkan sumbangan sebanyak itu, lebih banyak rumah dapat dibaik pulih dan lebih ramai penduduk miskin dapat tinggal di rumah yang lebih selesa.

"Tahun ini, kita dapat membaik pulih 17 rumah sahaja di seluruh negara tetapi jika semua ahli Parlimen memberi peruntukan, tidak mustahil kita dapat membaiki tidak kurang 2,000 rumah setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah 'House Build' sempena sambutan Hari Habitat Sedunia 2012 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak projek itu diperkenalkan pada 2009, KPKT mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat swasta termasuk pemaju terkemuka di negara ini.

"Tidak mungkin setiap tahun kita nak mengharapkan pemaju yang sama membantu kita dalam menjayakan projek ini. Kita juga harap dapat melihat lebih banyak syarikat mencontohi pemaju itu.

"Kita akan cuba untuk membaik pulih rumah sebanyak yang mungkin, tapi ia bergantung kepada keadaan ekonomi juga. Kalau ekonomi tak bagus, syarikat tidak mendapat keuntungan yang banyak, mereka mungkin tidak dapat membantu kita," kata Chor.

Chor berkata, untuk tahun ini, di Kedah sebanyak tiga buah rumah terpilih untuk dibaik pulih iaitu, sebuah di Alor Setar dan dua di Pendang.
"Saya harap Rehda (Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan) dapat membantu kita dalam membaik pulih rumah masyarakat miskin di sini. Terdapat banyak lagi rumah yang dalam keadaan daif di kampung-kampung yang perlu dibaiki," katanya.

Chor berkata, kementerian bertanggungjawab memantau perjalanan projek dan memberi nasihat kepada kontraktor dalam memastikan ia berjalan lancar. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

PM Thailand berdepan usul undi tidak percaya

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra hari ini berdepan perdebatan usul undi tidak percaya yang dilancarkan pembangkang di Parlimen, sehari selepas tunjuk perasaan politik bertukar menjadi ganas di sini.

Bagaimanapun, usul yang turut menyasarkan tiga menteri lain itu kelihatan tipis untuk diluluskan oleh dewan perundangan yang dikuasai parti pimpinan Yingluck, Puea dan parti komponennya.

"Perdana Menteri gagal memimpin negara ini seperti yang dijanjikan. Beliau membenarkan rasuah," kata Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Demokrat, Jurin Laksanavisit pada pembukaan perbahasan yang dijadualkan selama tiga hari.

"Beliau juga membenarkan orang luar untuk mempengaruhinya dan mengawal pentadbirannya," katanya yang merujuk kepada abang Yingluck, iaitu bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra. - AFP


15.09 | 0 komentar | Read More

Penubuhan institut kepimpinan generasi muda antara 11 resolusi konvensyen mahasiswa

KUALA LUMPUR: Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2012 di sini, hari ini, meluluskan 11 resolusi, antara lain menggesa kerajaan menubuhkan institusi bagi memperkasakan kepimpinan generasi muda.

Ini adalah bagi memperbanyakkan peluang bagi generasi muda memainkan peranan dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar negara.

Konvensyen dua hari itu yang berakhir hari ini juga mahu kerajaan terus memperkasakan usaha membawa pulang pakar-pakar tempatan yang berkhidmat di luar negara.

Kesemua resolusi itu yang diluluskan sebulat suara perwakilan dari 20 institusi pengajian tinggi awam tempatan, tujuh kolej swasta dan Kelab UMNO Luar Negara itu diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perwakilan turut menggesa kerajaan memperuntukkan sumber dana yang mencukupi bagi melahirkan lebih ramai intelek dan profesional Melayu selain memastikan peranan mereka dalam pemilikan ekuiti ekonomi negaraterjamin.

Mereka juga memohon supaya pemahaman masyarakat terhadap Perlembagaan Persekutuan dipertingkatkan, memperkasakan pelaksanaan dasar negara bertunjangkan Islam dan memastikan kesyumulan sistem kehakiman dan perundangan Islam.

Kerajaan juga diminta memastikan kualiti modal insan di institusi pengajian tinggi tempatan memenuhi keperluan pasaran.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Polis Marin Langkawi rampas 2,500 liter diesel

LANGKAWI: Polis Marin Langkawi merampas 2,500 liter minyak diesel, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dan menahan dua lelaki di Perairan Teluk Apau, Kuah dekat sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Langkawi Wilayah I, ASP Razi Hasan berkata, rampasan itu dibuat hasil daripada pemeriksaan ke atas sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan, sedang menghala ke sempadan pada jam 1.20 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan itu, pihak kami berjaya menemui minyak diesel yang berada dalam tangki berasingan dan menahan dua lelaki rakyat tempatan berumur 34 dan 58 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Cawangan Langkawi untuk tindakan lanjut. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Polis lepas gas pemedih mata surai tunjuk perasaan di Bangkok

Written By Unknown on Sabtu, 24 November 2012 | 15.09

BANGKOK: Polis Bangkok melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan antikerajaan awal hari ini yang dijangka tunjuk perasaan terbesar sejak Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra mengambil alih pentadbiran tahun lalu.

Yingluck mengarahkan lebih 15,000 anggota polis mengawal protes jalan raya serta menguatkuasakan undang-undang keselamatan minggu ini bagi mencegah perhimpunan yang dijangka mencecah lebih 10,000 penunjuk perasaan.

Perdana Menteri berkata, penunjuk perasaan itu bertujuan menumbangkan kerajaan dan memberi amaran ia mungkin bertukar kepada keganasan.

Penunjuk perasaan itu dikatakan diangjurkan satu kumpulan dikenali "Pitak Siam" atau "Protect Thailand." - AFP


15.09 | 0 komentar | Read More

Negara perlu sediakan pelapis muda pertanian: Najib

SERDANG: Negara perlu menyediakan pelapis di kalangan generasi muda untuk meneruskan kelangsungan dalam bidang pertanian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata ini bagi membolehkan proses pembangunan semula dalam pertanian dapat diperlihatkan memandangkan bidang tersebut mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

Justeru itu, katanya selain mampu menarik minat generasi muda, pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 perlu menjadi pencetus kepada minda yang inovatif kepada semua yang terlibat dalam sektor pertanian.

"Bagaimana kita boleh menggunakan dan mengaplikasikan teknologi dan cara yang inovatif supaya daya pengeluaran pertanian dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

"Kalau kita datang dan hadir ke pameran dan tidak membawa balik bersama pemikiran baharu dalam minda maka pameran besar seumpama itu belum mencapai objektifnya," kata Perdana Menteri semasa berucap merasmikan MAHA 2012 di sini hari ini.

Menyedari akan kepentingan bidang pertanian serta potensi industri tersebut secara menyeluruh, Perdana Menteri berkata kerajaan buat pertama kalinya memberi peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2013.

Beliau berkata sektor pertanian akan terus dipacu bagi meningkatkan pendapatan negara bagi projek seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi, selain memastikan kelestarian bekalan makanan terjamin.
Najib turut menyentuh beberapa pendekatan dan kaedah inovasi yang sedang diaplikasikan sebagai memberi gambaran bagaimana besarnya potensi bidang pertanian.

"Misalnya aktiviti ternakan ikan empurau, sejenis ikan air tawar yang hampir pupus di Sarawak, mampu menjana pendapatan lumayan dan secara langsung boleh memberi manfaat kepada penduduk pedalaman di negeri tersebut.

"Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk penyelidikan ikan empurau dan harga seekor ikan empurau matang seberat tiga kilogram boleh mencecah antara RM2,800 hingga RM3,000". - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Agong mahu UiTM tingkat kerjasama berimpak tinggi

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertingkatkan kerjasama antarabangsa berimpak tinggi seperti terhasilnya cadangan penubuhan Pusat Penyelidikan Kawalan Banjir untuk manfaat rakyat dan negara.

Titah Seri Paduka, kerjasama antara UiTM, University of Stuttgart, Germany, berserta beberapa institusi lain dalam inisiatif penubuhan pusat penyelidikan kawalan banjir itu merupakan momentum kerjasama antarabangsa berimpak tinggi yang akan meletakkan UiTM dalam peta dunia.

"Maka, beta menyeru semua pihak agar momentum kerjasama antarabangsa yang berimpak tinggi ini dapat dipertingkatkan lagi agar nama universiti dan nama negara dipandang mulia dan dihormati dan yang pentingnya, rakyat turut merasai hasil daripada kerjasama seumpama ini," titah Tuanku Abdul Halim pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-77, di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Seri Paduka bertitah walaupun UiTM sudah menjadi universiti yang terbesar dan tersohor di dalam negara, namun falsafah asalnya untuk memberi peluang belajar di peringkat tinggi kepada kaum bumiputera, untuk sama-sama mengambil bahagian dan menyumbang kepada pembangunan negara bersama kaum lain yang lebih maju tidak pernah dilupakan.

"Lebih membanggakan lagi ia telah mendapat perhatian dunia," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut bertitah agar alumni UiTM bersatu padu dalam persatuan yang dapat menyumbang semula kepada universiti itu agar kesinambungan kejayaan UiTM akan bertambah dari aspek kuantiti dan kualitinya.
Dengan jumlah alumni UiTM pada masa kini sudah mencecah setengah juta orang, Seri Paduka dalam titahnya pasti kesemua mereka sedikit sebanyak telah menyumbang bakti kepada negara.

Tuanku Abdul Halim dalam titahnya turut meminta para graduan supaya sentiasa berbudi bahasa, bersopan santun, menyayangi, menghormati ibu bapa dan orang tua.

"Inilah nilai budi pekerti budaya kita yang halus lagi tinggi dan ianya tidak boleh dilupakan, dipinggirkan ataupun diketepikan serta taatlah perintah agama, Insya-Allah kita akan berjaya," titah Seri Paduka.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Sahol Hamid Abu Bakar dalam ucapannya pula berkata Pusat Penyelidikan Kawalan Banjir yang bakal ditubuhkan itu akan membolehkan warga UiTM melakukan penyelidikan bagi mencari penyelesaian dalam masalah banjir di negara ini, seterusnya dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Katanya walaupun UiTM kini telah menjadi universiti terbesar di negara ini, peranan asasnya tidak pernah dilupakan malah diperkasakan lagi melalui program khas, 'Mengubah Destini Anak Bangsa' yang ditubuhkan hampir tiga tahun lalu.

"Program khas ini kini telah berjaya menyelamatkan 15,000 anak muda yang mungkin tidak menentu hala tujunya jika tidak kerana program ini, yang telah mendapat perhatian bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa," titah baginda.

Sahol Hamid turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah meluluskan penubuhan Yayasan Destini Anak Bangsa dan meletakkannya di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri sendiri.

"Dengan ini, saya pasti perjuangan mengubah destini anak bangsa ini akan lebih perkasa dan meluas untuk dinikmati oleh rakyat," titah baginda.

Seramai 27,626 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam 22 sidang yang berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, enam sidang di UiTM Perlis, lima sidang di UiTM Terengganu dan tiga sidang masing-masing di UiTM Perak dan Sarawak.

Daripada jumlah itu, seramai 14,027 orang menerima Diploma, 12,466 menerima Ijazah Sarjana Muda, 27 menerima Diploma Lepasan Ijazah, 152 Ijazah Profesional, 927 Ijazah Sarjana dan 27 orang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Istiadat itu bermula hari ini sehingga 6 Disember. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Pecat anggota bukti keseriusan UMNO

BEAUFORT: Ketua Menteri, Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata tindakan pemecatan dan penggantungan angggota Umno menunjukkan keseriusan parti dalam memastikan setiap anggota ikhlas, jujur dan setia dengan prinsip perjuangan parti.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menegaskan sekiranya ada anggota tidak ikhlas dan jujur dengan melakukan sabotaj terhadap parti yang jelas bertentangan dengan prinsip parti, sewajarnya dipecat.

"Kita (anggota Umno) seharusnya sentiasa mengikut amanat yang dipertahankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno) untuk memastikan sebagai ahli mesti patuh, ikhlas dan jujur terhadap parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Lembaga Disiplin Umno pada Khamis mengumumkan pemecatan dua anggota dan penggantungan selama tiga tahun seorang lagi anggota, ketiga-tiganya dari Umno Bahagian Semporna, Sabah, kerana kesalahan sabotaj parti.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata yang dipecat ialah Ab. Habi Mustapha dan Abdul Majid Palah manakala yang digantung keanggotaannya selama tiga tahun mulai 6 September 2012 atau satu Penggal Pemilihan ialah Nisfu Palah.

Sehubungan itu, Musa meminta semua anggota Umno khususnya di negeri ini mengutamakan kepentingan parti bukan peribadi selain sentiasa mematuhi serta menanam taat setia kepada parti.

"Sikap tidak (menunjukkan) keikhlasan dan kejujuran dalam parti akan boleh mengundang perkara tidak baik," katanya.
Terdahulu, Musa merasmikan Festival Bagandang kali ke-empat yang berlangsung selama empat hari berakhir esok.

Festival tahunan itu menampilkan pelbagai pengisian seperti Pertandingan Ratu Bagandang dan persembahan kebudayaan. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Transformasi bidang pertanian bawa hasil positif: PM

SERDANG: Transformasi dalam bidang pertanian yang disaran oleh kerajaan telah memberikan pencapaian yang positif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata pencapaian positif tersebut adalah kerana transformasi atau lonjakan yang telah diusahakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian adalah melalui inovasi.

"Melihat kepada pencapaian dalam sektor pertanian pada suku ketiga tahun ini, sektor agro makanan telah menyumbangkan sebanyak RM6.7 bilion kepada KDNK," katanya berucap merasmikan pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 dan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan 2012 di hari ini.

Perdana Menetri berkata ini membuktikan bahawa transformasi dalam bidang pertanian telah dan sedang berlaku.

Beliau berkata subsektor tanaman makanan, ternakan dan perikanan masing-masing mencatat pertumbuhan positif iaitu sebanyak RM2.6 bilion atau 7.6 peratus, RM1.7 bilion atau 7.1 peratus dan RM2.4 bilion atau 4.7 peratus.

"Manakala nilai eksport bahan makanan bagi tempoh Januari hingga Jun 2012 pula adalah sebanyak RM9.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 2.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Untuk memastikan sektor pertanian terus maju, beliau berkata kerajaan buat pertama kalinya telah memberi peruntukkan yang besar iaitu sebanyak RM5.8 bilion dalam Belanjawan 2013.
Beliau berkata kerajaan menyedari kepentingan bidang pertanian serta potensi industri ini secara menyeluruh.

"Sektor pertanian akan terus dipacu bagi meningkatkan pendapatan negara bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi selain dari memastikan kelestarian bekalan makan terjamin," katanya.

Berlangsung selama 10 hari bermula 24 November hingga 2 Disember, MAHA edisi ketujuh dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan dianjurkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

MAHA kali ini menyaksikan penyertaan 2,240 syarikat tempatan termasuk dari 23 negara. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Mangsa Taufan Sandy gembira perarakan Hari Kesyukuran

Written By Unknown on Jumat, 23 November 2012 | 15.09

NEW YORK: Mangsa Taufan Sandy di timur laut Amerika Syarikat gembira apabila dijamu makanan percuma dan mendapat tempat duduk barisan depan pada perarakan tahunan sempena Hari Kesyukuran di sini.

"Kami berterima kasih dan menjadi satu keluarga serta berasa hidup kembali seperti sedia kala," kata mangsa taufan, Karen Panetta yang mendapat tempat duduk istimewa dikhaskan untuk mangsa bencana itu.

Perarakan itu yang dihadiri lebih tiga juga orang dan disaksikan 50 juta di televisyen termasuk dihiburkan belon gergasi seperti Hello Kitty, Buzz Lightyear dan Sailor Mickey Mouse. - AP
15.09 | 0 komentar | Read More

Premis 4 tingkat di Pasar Pudu terbakar

KUALA LUMPUR: Sebuah premis perniagaan empat tingkat yang menjual barangan perkakas rumah di Jalan Pudu, di sini, musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Suhaimi Mahmood, berkata premis yang memuatkan kelengkapan dapur seperti pinggan, mangkuk dan kuali itu terbakar kira-kira jam 4 pagi.

"Kami menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai jam 4.11 pagi dan jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 4.15 pagi. Sebanyak lima jentera bomba membabitkan 45 anggota dari lima balai dikejarkan ke tempat kejadian.

"Operasi memadamkan kebakaran mengambil masa lebih dua jam dan api berjaya dikawal kira-kira 6.56 pagi kerana hampir keseluruhan tingkat yang menjadi stor jualan menempatkan barangan daripada plastik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Suhaimi berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, pemilik kedai, Tan Ah Saw, 56, berkata ketika kejadian tiada sesiapa yang berada di dalam premis dan beliau bersama ahli keluarganya sedang tidur di rumah.

"Kira-kira jam 3.30 pagi saya dikejutkan dengan panggilan daripada pemilik kedai makanan bersebelahan yang terdengar beberapa letupan seperti bunyi litar pintas.
"Saya terus ke kedai dan mendapati api sudah semakin marak. Anggaran kerugian yang saya alami adalah kira-kira RM600,000," katanya.


15.09 | 0 komentar | Read More

Veteran UMNO mohon KDN pantau sifat ektremis PAS

KUALA LUMPUR: Veteran Umno Malaysia hari ini memohon Kementerian Dalam Negeri memantau sifat ektremis anggota PAS terutamanya seperti ditunjukkan ketika Muktamar Tahunan Ke-58 parti itu Jumaat lalu.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pemantauan itu perlu dilakukan bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku seterusnya menjamin keselamatan anggota Umno terutamanya menjelang Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Veteran bimbang apa berlaku sekarang dalam PAS yang mungkin dipengaruhi fahaman melampau," katanya kepada Bernama.

Tidak cukup dengan mengadakan solat hajat untuk mendoakan Umno dan Barisan Nasional (BN) hancur Jumaat lepas, PAS membuktikan kebencian ekstremnya dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Umno merupakan parti murtad.

Beliau berkata PAS sudah hilang keyakinan untuk berdepan dengan Umno dan BN secara 'gentleman' disebabkan sokongan terhadap parti tunjang orang Melayu itu semakin kuat daripada hari ke hari.

"PAS tahu sokongan kepada parti itu semakin merosot kerana PAS telah tersasar jauh dari dasar perjuangan asal dan sanggup bersekongkol dengan DAP dan PKR.
Sebab itu senjata yang ada hanya menggunakan doa dan doa ini bakal makan diri.
"Veteran (Umno) yakin Allah SWT tidak akan memperkenankan doa itu malah akan melaknati PAS," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

PM tunai solat hajat doakan keselamatan Palestin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan bacaan qunut Nazilah serta solat hajat di Masjid Putra di sini bagi mendoakan keselamatan penduduk Palestin yang sedang berdepan dengan kekejaman Israel.

Terdahulu Najib mendengar khutbah Jumaat khas yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Abdul Manaf Mat, bertajuk Tangisan Gaza, yang berkisar mengenai tragedi yang menimpa rakyat Palestin di Gaza ketika ini.

Serangan Israel ke atas wilayah Gaza sejak minggu lepas mengakibatkan lebih 100 penduduk Gaza terbunuh termasuk kanak-kanak dan warga tua, di samping mencederakan ratusan yang lain.

Dua hari lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan meminta semua masjid dan surau mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan penduduk Palestin sebagai satu daripada inisiatif bagi menunjukkan sokongan Malaysia kepada penduduk Palestin.

Masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Wilayah Persekutuan serta seluruh masjid di Wilayah Persekutuan juga berbuat demikian, di samping menyampaikan khutbah khas Jumaat hari ini.

Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri bersama makmum yang lain menunaikan solat hajat dua rakaat sebelum beredar, dan yang turut kelihatan di masjid ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

5,447 perwakilan sertai Perhimpuan Agung Umno 2012

KUALA LUMPUR: Seramao 5,447 perwakilan akan menyertai Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang akan berlangsung selama lima hari bermula pada 27 November hingga 1 Disember depan.

Pada masa sama, 52 delegasi dari 18 luar negara yang mewakili 20 parti politik dijemput sebagai pemerhati sepanjang Pehimpunan Agung UMNO tahun ini.

Perhimpunan kali ini dinanti-nantikan pelbagai pihak termasuk pemerhati luar kerana ia disifatkan yang terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
15.09 | 0 komentar | Read More

Semua ADUN BN Kedah keluar Dewan

Written By Unknown on Kamis, 22 November 2012 | 15.09

ALOR SETAR: Sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini kecoh apabila Datuk Abu Hassan Sharif (BN-Kota Siputeh) diarah keluar kerana enggan mematuhi arahan Speaker Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Ini berlaku setelah Abu Hassan enggan berdiam diri walaupun diarah berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Lim Soo Nee (PKR-Kulim) yang tidak memberi peluang untuknya bercakap.

Lim dalam penggulungannya membangkitkan isu anak lelaki Abu Hassan yang didakwa menjawat jawatan gred N41 sebagai tidak wajar kerana jawatan itu tidak pernah wujud dalam Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia itu memberitahu dewan bahawa selepas diketahui bahawa pelantikan itu tidak wajar, anak Abu Hassan telah ditawarkan jawatan lebih rendah iaitu gred N17 jika masih mahu berkhidmat dengan MPKP, namun dia menolak.

Abu Hassan yang berang dengan kenyataan itu berkata beliau seharusnya diberi peluang untuk bercakap bagi menjelaskan perkara itu kerana ia melibatkan maruah anaknya.

Abu Hassan akhirnya diarahkan keluar dewan kerana enggan diam dan sebelum meninggalkan dewan beliau turut meminta semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang lain bersamanya kerana menganggap tiada semangat demokrasi diamalkan dalam dewan itu.

Semua 12 ADUN BN serta Radzi Salleh (Bebas-Lunas) kemudiannya turut keluar dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan Speaker itu.
Bagaimanapun, 12 ADUN BN itu dan Radzi kemudiannya masuk semula ke dalam dewan 15 minit kemudian kecuali Abu Hassan.

Sementara itu Abu Hassan memberitahu pemberita di luar dewan bahawa beliau berasa kecewa dengan arahan Speaker yang sepatutnya menjadi 'penyubur' demokrasi di dalam dewan.

"Kerajaan ini (kerajaan negeri Kedah) tidak bertanggung jawab dan tidak mengamalkan demokrasi. Mereka tak berani berdepan dengan rakyat, bila kita nak tanya soalan depa kata kita salah," kataNYA. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Saham Lynas naik, konsentrat bumi nadir tiba di Kuantan

MELBOURNE: Harga saham Lynas Corporation melonjak selepas syarikat itu menyatakan yang konsentrat bumi nadir telahpun tiba untuk pemprosesan di kilangnya di Gebeng, Kuantan.

Syarikat itu berkata, 100 kontena konsentrat bumi nadir kini sudah pun tiba di Kuantan dan sejumlah besar telahpun berada di kilangnya.

"Lynas menjangkakan yang peleburan pertama dan pelaksanaan operasi di Kilang Material Canggih Lynas (LAMP) akan bermula dalam beberapa hari ini," kata syarikat dalam satu kenyataan.

Lynas berkata, tiada apa yang akan menghalangnya daripada memulakan operasi di kilang meskipun minggu lalu ia memaklumkan mengenai pusingan kedua tindakan undang-undangnya ke atasnya.

Kumpulan "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas" minggu lalu sudah pun membuat permohonan kedua di Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menghentikan syarikat daripada mendapat lesen operasi sementara untuk kilang itu.

Lynas berkata, permohonan itu rupanya adalah ulangan kepada permohonan yang telah ditolak awal bulan ini.

"Prosiding perundangan baru-baru ini yang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuantan tidak menjejaskan penyediaan operasi yang sedang dilakukan di LAMP," kata Lynas minggu lalu.
Kumpulan "Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas" bimbang kilang Lynas akan membebaskan pencemaran radioaktif yang akan mengancam kesihatan manusia dan persekitaran.

Saham Lynas meningkat A5.5 sen atau 8.73 peratus kepada A68.5 sen. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Sultan Johor mahu kerajaan negeri sedia pelan pembangunan Muar

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta kerajaan negeri menyediakan pelan pembangunan Bandar Muar yang menyeluruh dengan mengekalkan bangunan yang bersejarah dan memanfaatkan kelebihan Sungai Muar.

Baginda bertitah, Bandar Muar adalah satu kawasan yang kaya dengan kisah sejarah pentadbiran kerajaan dan pembangunan bandar itu yang tersusun bermula pada tahun 1880-an ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Titah baginda, sejak diumumkan sebagai Bandar Maharani pada 1887, Muar telah menjadi satu kawasan kegiatan ekonomi utama di negeri ini dan kesan pembangunan itu dapat dilihat dengan banyaknya bangunan lama dan bersejarah di Muar seperti bangunan Sultan Abu Bakar.

"Saya memang kerap datang ke Muar kerana saya suka dengan keadaan dan suasana persekitarannya yang aman dan tenteram serta dilengkapi dengan Sungai Muar yang mengalir tenang.

"Saya dapat merasakan yang Bandar Muar ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi sebuah bandar yang membangun lebih maju," titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-54 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini. .

Ia adalah julung kali istiadat itu diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berangkat, isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda Sultan Johor.
Baginda menggesa kerajaan negeri supaya memulihara bangunan lama dan bersejarah yang ada di Bandar Muar dan mewartakannya sebagai bangunan warisan.

Sultan Johor turut mengingatkan rakyat di Muar supaya menjaga kebersihan bandar itu dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab tersebut di bahu kerajaan atau pihak majlis perbandaran semata-mata.

Selain itu, baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana negeri Johor mengalami pembangunan yang pesat terutama di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang.

"Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan persekutuan kerana membantu kerajaan negeri dalam membangunkan kawasan tersebut...Saya berharap supaya kerajaan persekutuan terus bekerjsama dan membantu kerajaan negeri dalam meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Johor.

"Mungkin selepas ini kawasan Bandar Muar pula menjadi kawasan pembangunan yang baru dengan mengggunakan kelebihan yang ada pada Sungai Muar," titah baginda.

Dengan pembangunan pesat itu, baginda juga berharap ia akan memberikan peluang pekerjaan yang sangat luas kepada rakyat Johor.

Baginda turut meminta supaya kerajaan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan Johor dalam mengagihkan kontrak kerja di negeri ini.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya bersikap sederhana dan mengukuhkan perpaduan kaum serta keharmonian masyarakat selain mengamalkan sikap tolak ansur kerana ia penting dalam persekitaran hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.

"Jika ada perkara tidak menyenangkan segeralah berbincang dan selesaikan dengan baik. Jika ada perasaan cemburu dan dengki segeralah buangkannya jauh dari diri. Jika ada hubungan yang mula renggang, segeralah berunding dan rapatkan jalinan perpaduan. Ingatlah bahawa muafakat itu berkat," titah baginda.

Sempena hari keputeraan baginda, seramai 404 menerima darjah kebesaran dan pingat dengan puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, mengetuai senarai penerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI). - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Thailand laksana ISA sempena perhimpunan di Bangkok Sabtu ini

BANGKOK: Menjangkakan kegansan akan berlaku ketika perhimpunan antikerajaan di sini Sabtu ini, kerajaan Thailand aksn mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sesetengah kawasan di ibu negara ini selama sembilan hari, mulai hari ini.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Warathep Rattanakorn berkata, ISA akan dikenakan di daerah Pranakorn, Dusit dan Pomprabsattrupai yang hampir dengan Royal Plaza, venue perhimpunan.

"Majlis Keselamatan Negara telah memaklumkan kepada Perdana Menteri (Yingluck Shinawatra) yang mereka mendapat maklumat bahawa keganasan mungkin berlaku semasa perhimpunan," katanya.

Pelaksanaan ISA antara lain bertujuan mengerakkan tentera dalam membantu polis mengawal keselamatan di kawasan berkenaan.

Pitak Siam merancang mengadakan rali bagi mendesak kerajaan meletak jawatan dan polis merancang menggerakkan 50,000 anggota bagi mengawal keadaan ketika perhimpunan.

Kumpulan antikerajaan mengadakan rali pertama pada 28 Oktober lalu yang disertai ramai penunjuk perasaan.

Kumpulan ini yang diketuai Jeneral Boonlert Kaewprasit mendakwa 20,000 peserta menyertai perhimpunan namun pihak polis menganggar ia disertai hanya sekitar 7,000 peserta. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Malaysia berisiko hadapi gempa bumi sederhana, rendah

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Sabah dan Sarawak berisiko menghadapi gempa bumi sederhana manakala Semenanjung Malaysia pula berisiko menghadapi gempa bumi rendah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, berkata perkara itu berdasarkan Kajian Risiko dan Bahaya Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia yang dilaksanakan dan disiapkan pada 2009 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, sejak September hingga November tahun ini, beberapa gegaran lemah kurang daripada magnitud 4, dirasai di Beluran, Kota Marudu, Kudat dan Tambunan di Sabah.

"Ini menunjukkan di Malaysia berlaku gempa bumi tapi pada kadar yang sederhana dan rendah," kataya ketika menjawab soalan Ir Hamim Samuri (BN-Ledang) yang ingin mengetahui kajian terbaharu yang dilakukan berkaitan risiko kejadian gempa bumi di Malaysia.

Kajian Risiko dan Bahaya Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia dibiayai dengan peruntukan sebanyak RM3.378 juta melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JGM), Universiti Putra Malaysia (UPM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Fadillah berkata, melalui inisiatif JMM, sebanyak 25 Pengesan Pergerakan Kuat dipasang di seluruh Malaysia termasuk 10 di Lembah Klang di samping 17 unit Pengesan Pergerakan Lemah bagi memantau segala kejadian gempa bumi.

"Pada 2014, kita mengharapkan akan dapat memasang 20 lagi termasuk membekalkan pemasangan di Sarawak. Dengan adanya peralatan ini, kita harap dapat memantau keseluruhan berlakunya gerak gempa bumi di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak," katanya.
Fadillah berkata, lima kumpulan telah diwujudkan terdiri daripada anggota dalam bidang kepakaran masing-masing dengan kerjasama agensi berkaitan antaranya kumpulan kerja pemantauan gempa bumi dan sesar aktif dan kumpulan kerja membangunkan kod reka bentuk bangunan.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa syor serta pelan tindakan telah digariskan dalam menghadapi kemungkinan risiko gempa bumi, antaranya memasang peralatan seperti Sistem Kedudukan Global dan pengesan seismik di sepanjang sesar-sesar aktif dan mempertimbangkan penggunaan penahan getah asli seismik yang dihasilkan oleh Institut Getah Malaysia dalam membina projek prasarana penting terutama di zon berisiko tinggi terhadap gempa bumi. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Obama ambil tindakan segera bendung keganasan di Palestin: Najib

Written By Unknown on Selasa, 20 November 2012 | 15.09

PHNOM PENH: Presiden Barack Obama mengambil tindakan segera untuk membendung keganasan di Palestin selepas Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu berkenaan pada mesyuarat pemimpin Amerika Syarikat dan ASEAN di sini, semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Obama kepada Datuk Seri Najib Razak, di luar mesyuarat Perkongsian Trans Pasifik (TPP) di Peace Palace di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Obama memaklumkan kepadanya beliau sudah membuat beberapa panggilan telefon bagi menghentikan konflik berkenaan.

"Hari ini beliau memberitahu saya, malam tadi beliau membuat beberapa
panggilan telefon setelah Malaysia dan Indonesia membangkitkan perkara ini.

"Beliau sudah bertindak memainkan peranan cuba menghentikan konflik yang berlarutan di Gaza," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, sebentar tadi.


15.09 | 0 komentar | Read More

Perancis tamatkan misi tempur di Afghanistan

PANGKALAN NIJRAB (Afghanistan): Perancis menamatkan misi pertempuran di Afghanistan hari ini dengan menarik balik pembabitan anggota tenteranya di wilayah strategik iaitu timur laut Kabul.

Paris berkata, kesemua tentera tempur Perancis akan meninggalkan Afghanistan bulan depan iaitu dua bulan sebelum negara sekutu bersama 100,000 anggota Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai Amerika Syarikat dijadualkan untuk berbuat demikian.

Kira-kira 1,500 tentera Perancis akan berada di Afghanistan sehingga tahun depan, iaitu bertanggungjawab untuk menghantar balik kelengkapan dan melatih tentera Afghanistan yang akan mengambil alih peranan itu daripada tentera NATO pada 2014. - AFP
15.09 | 0 komentar | Read More

SUHAKAM sambut baik penerimagunaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik penerimagunaan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja, Ahad lalu.

Dalam kenyataan di sini hari ini, pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, berkata perisytiharan itu membuktikan wujudnya perkembangan positif dalam mendukung dan melindung hak asasi manusia di rantau ini.

"Suruhanjaya ini sangat gembira dengan penegasan semula negara anggota ASEAN tentang komitmen mereka terhadap Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu, Deklarasi dan Program Tindakan Vienna serta instrumen hak asasi manusia lain yang ditandatangani negara anggota ASEAN.

"Kami dapati AHRD meliputi pelbagai hak yang dikategorikan secara berasingan sebagai Hak Sivil dan Politik, Hak Ekonomi, Hak Sosial dan Budaya, Hak Pembangunan dan Hak Menikmati Keamanan yang walaupun semuanya seiring dengan standard hak asasi manusia antarabangsa tetapi tertakluk kepada sembilan prinsip umum," katanya.

Beliau berkata, walaupun SUHAKAM tidak berniat untuk meremehkan peri penting dan bergunanya semua prinsip itu namun suruhanjaya itu kecewa kerana terdapat ruang yang membenarkan sekatan dikenakan berdasarkan alasan lebih meluas daripada yang diterima di peringkat antarabangsa.

"Walaupun Prinsip Umum Ketujuh mengisytiharkan bahawa semua hak asasi manusia adalah bersifat sejagat, tidak boleh dibelah bahagi, saling bergantung dan saling berkaitan, tetapi ia turut memberi perakuan bahawa negara anggota boleh mengambil kira latar belakang politik, ekonomi, perundangan, sosiobudaya dan sejarah mereka dalam melaksanakan hak asasi manusia di negara masing-masing," katanya.

Hasmy berkata, suruhanjaya itu bimbang prinsip berkenaan boleh melemahkan keseluruhan semangat deklarasi berkenaan dan menyekat pelaksanaan dan perlindungan penuh hak asasi manusia di rantau ini.
Katanya, SUHAKAM juga ingin menarik perhatian kepada Perkara 5 Deklarasi dan Program Tindakan Vienna yang menyebut bahawa adalah menjadi tugas setiap negara untuk mendukung dan melindungi hak asasi dan kebebasan asasi manusia tanpa mengira sistem politik, ekonomi dan budaya yang mereka amalkan.

"Suruhanjaya ini juga kesal kerana deklarasi itu dirangka dengan memiliki keterbukaan dan ketelusan yang terhad dan tidak menyediakan ruang perundingan secukupnya dengan pelbagai pemegang kepentingan termasuk Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan yang berminat untuk memberi sumbangan serta berazam untuk memastikan AHRD adalah setara dengan deklarasi hak asasi manusia lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, suruhanjaya itu dan anggota lain Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara anggota Asean dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN dalam melaksanakan AHRD dengan sepenuhnya dan tanpa sebarang sekatan.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sembilan pemimpin ASEAN lain menandatangai AHRD, yang antara lain bertujuan melindungi hak asasi manusia daripada semua lapisan kehidupan, termasuk kanak-kanak dan wanita. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Muhyiddin akan hadiri sidang kemuncak D-8 2012 di Pakistan

ISLAMABAD: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Sidang Kemuncak Kumpulan Membangun-8 (D-8) 2012 Ke-8 di Islamabad, Pakistan pada Khamis.

Muhyiddin dan delegasinya dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Pakistan di Chaklala pada malam Rabu.

Beliau akan menghadiri sesi sidang kemuncak itu termasuk majlis menandatangani piagam D-8 kemudiannya dan dijadual berangkat balik ke Kuala Lumpur selepas majlis makan malam dengan delegasinya.

Tema sidang kemuncak itu, "Perkongsian Demokratik bagi Keamanan dan Kemakmuran", mendasari kepentingan demokrasi sebagai asas bagi mencapai keamanan dan kemakmuran bagi rakyatnya dan menggalakkan kerjasama dengan negara-negara membangun.

D-8 ialah sebuah organisasi bagi menggalakkan kerjasama pembangunan di kalangan lapan negara; Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

D-8 yang ditubuhkan pada 15 Jun 1997, adalah bertujuan untuk menambah baik kedudukan anggotanya dalam ekonomi dunia, mempelbagaikan dan mewujudkan peluang baharu dalam hubungan perdagangan, meningkatkan penyertaan dalam membuat keputusan di peringkat antarabangsa dan menyediakan standard hidup yang lebih baik. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

JPS: Radar baru bantu atasi banjir kilat

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, penggunaan sistem radar yang membolehkan kadar bacaan hujan dilakukan lebih cepat boleh membantu mengatasi masalah banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Pengarah Bahagian Sumber Air dan Hidrologi JPS, Datuk Hanapi Mohamad Noor, berkata ia membabitkan sistem 'Polarimetric Doppler Weather Radar' dari Jepun yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Beliau bagaimanapun berkata, pemasangan radar itu perlu terlebih dulu dibincangkan dengan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Radar sedia ada mengambil 10 minit untuk merekodkan taburan hujan dan jumlah hujan yang turun, namun radar baru ini mampu merekodkan data yang dikehendaki dalam masa seminit," katanya selepas menghadiri seminar mengatasi banjir melalui kerjasama antara Malaysia dan Jepun di sini, hari ini.

Hanapi menjelaskan penggunaan radar itu membolehkan maklumat dan data yang direkodkan dibaca sebelum hujan turun, sekali gus membantu penyediaan ramalan hujan lebih awal.

"JPS banyak bergantung kepada radar di Subang yang dikendalikan Jabatan Meteorologi, namun perolehan data setiap 10 minit sekali merugikan kami daripada segi masa apatah lagi banjir yang berlaku di Lembah Klang boleh berlaku dalam kadar yang pantas," kata Hanapi.

Menurut beliau, cerapan maklumat lebih pantas dan kerap sangat penting bagi membolehkan pihaknya merangka pelan efektif bagi mengatasi masalah banjir kilat.
Seminar sehari anjuran Universiti Tenaga Nasional dengan kerjasama Kedutaan Jepun di sini itu dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah 1 JPS, Datuk Nordin Hamdan. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Urusan pengeluaran, pembaharuan pasport Malaysia dipindah ke Melbourne

Written By Unknown on Minggu, 18 November 2012 | 15.09

MELBOURNE: Urusan pengeluaran dan pembaharuan pasport Malaysia di Australia akan berpindah dari Canberra ke Melbourne pada awal tahun depan.

Perkara itu diumumkan konsul jeneral Malaysia di sini, Dr Mohd Rameez Yahaya, pada majlis makan malam Malaysia-Singapore Lasallian malam tadi.

Sejak sekian lama, rakyat Malaysia di sini bersungut kerana mereka terpaksa pergi ke Canberra untuk mendapatkan atau memperbaharui pasport masing-masing.

Sejak dibuka di sini pada Jun tahun lalu, pejabat konsulat jeneral mengambil alih sebahagian besar urusan yang sebelum itu dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

Berikutan langkah yang diumumkan itu, rakyat Malaysia di negeri Victoria, Australia Selatan dan Tasmania akan hanya perlu ke Melbourne, yang lebih dekat dengan tempat mereka, untuk urusan terbabit.

Konsulat Malaysia di Perth akan terus mengendalikan pejabat pasportnya.

Rameez berkata, pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) juga akan berpindah dari Sydney ke Melbourne pada Februari tahun depan dan akan ditempatkan di bangunan yang turut menempatkan pejabat konsulat jeneral Malaysia di St Kilda Road.
Bagaimanapun, pejabat Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (Mida) akan kekal di Sydney. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Muhyiddin berlepas pulang ke tanahair

GOLD COAST: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman berlepas pulang ke tanahair sebentar tadi.

Muhyiddin yang mengakhiri lawatan kerja sembilan hari ke Australia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane kira-kira 4 petang tadi (2 petang waktu Malaysia).

Beliau yang menaiki pesawat peribadi dijadual tiba di Kuala Lumpur kira-kira 8 malam ini (waktu Malaysia).

Muhyiddin dalam pertemuan dengan media padi tadi menyifatkan lawatannya ke Melbourne, Gold Coast dan Brisbane berjaya mengukuhkan kerjasama pendidikan dan perdagangan yang sedia terjalin.

Antara lain, beliau menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Cina Sedunia di Melbourne Sabtu lalu, pertemuan rasmi dengan Ketua Menteri Victoria, Ted Baillieu dan mendengar taklimat BoysTown di Brisbane mengenai program membantu pelajar keciciran.


15.09 | 0 komentar | Read More

Chan/Goh muncul naib juara Terbuka China

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying muncul naib johan pada kejohanan Siri Super Li Ning Terbuka China di Shanghai hari ini.

Beregu ranking keempat dunia itu tewas pada beregu nombor satu Xu Chen/Ma Jin dari China, 21-15, 21-17, dalam perlawanan akhir hari ini.

Ini adalah kekalahan keempat Chan dan Goh kepada gandingan China itu daripada lima pertembungan mereka, kali terakhir pada Terbuka Denmark bulan lalu. - BERNAMA
15.09 | 0 komentar | Read More

Projek perkampungan nelayan di Tanjung Dawai mula Februari depan

SUNGAI PETANI: Kerajaan Pusat akan membina sebuah perkampungan nelayan di Tanjung Dawai yang akan dilengkapi infrastrukur termasuk perumahan membabitkan kos RM45 juta bagi kemudahan golongan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata, projek itu akan dilaksanakan atas tapak seluas kira-kira 10 hektar dan majlis pecah tanah projek itu dijadualkan pada Februari tahun depan.

"Projek ini mengandungi 300 unit rumah banglo, pelbagai kemudahan antaranya surau, dewan orang ramai, tadika, gelanggang futsal dan unit-unit kedai serta bengkel bagi menempatkan 300 keluarga nelayan.

"Sekarang mereka tinggal di rumah yang dibina atas tanah milik orang lain yang menyukarkan kerajaan memberi bantuan membaik pulih rumah kerana perlu mendapat kebenaran tuan tanah," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek itu hari ini.

Mohd Hashim berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat terutama golongan yang memerlukan.

Katanya, perkampungan nelayan itu apabila siap kelak dapat meningkatkan aktiviti ekonomi sampingan nelayan dengan mengusahakan projek hiliran seperti keropok dan ikan kering selain membolehkan mereka menjual hasil tangkapan secara terus.

Beliau berkata, menyedari potensi Tanjung Dawai menjadi pusat agro-pelancongan moden, kerajaan bercadang membina jeti baharu di perkampungan itu yang akan memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Bayi berusia 18 bulan maut dalam serangan Israel ke atas Gaza

GAZA: Bayi berusia 18 bulan maut dalam serangan terbaru Israel di tengah Gaza dan mencederakan dua adik beradik hari ini, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan.

Bayi malang itu bernama Iyyad Abu Khusa.

"Bayi berusia 18 bulan terbunuh dalam serangandi timur Bureij (khemah pelarian) di tengah Gaza," kata jurucakap, Adham Abu Selmiya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, dua kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan masing-masing berusia empat dan lima tahun dikatakan "dalam keadaan kritikal".

Serangan terbaru Israel itu menjadikan angka kematian sejak Rabu lalu kepada 47 orang manakala lebih 450 cedera. - AFP


15.09 | 0 komentar | Read More

Dakwaan rogol wanita Indonesia: Polis tak sembunyi sebarang maklumat

Written By Unknown on Sabtu, 17 November 2012 | 15.09

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan polis tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kes tiga anggota polis yang didakwa merogol wanita warga Indonesia di Pulau Pinang, mimggu lalu.

"Kita akan pastikan mereka dihadapkan ke mahkamah dengan dakwaan setimpal dan kita kutuk sekeras-kerasnya sekiranya mereka bertiga didapati bersalah mengikut prosedur sedia ada.

"Kita tidak mahu orang tengok kita sembunyikan perkara ini," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau sendiri memantau kes berkenaan dan meminta Ketua Polis Negara dan timbalannya supaya tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan kes itu kepada umum.

Karnival tiga hari itu disertai lebih 237 syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan membabitkan penawaran lebih 40,000 peluang pekerjaan.


15.09 | 0 komentar | Read More

KPT lulus pembinaan Kolej Felcra

KAMPUNG GAJAH: Felcra Berhad (Felcra) sudah memperoleh kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi untuk penubuhan sebuah kolej Felcra berharga RM300 juta di Changkat Lada, Seberang Perak, di sini, kata pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata pelan pembangunan kolej tersebut telah disediakan dan pembinaannya dijangka siap dua tahun lagi.

"Penubuhan kolej ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat dalam memberi pendidikan kepada generasi kedua anak-anak peserta Felcra," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Felcra Berhad Seberang Perak bernilai RM1 juta di sini hari ini.

Tajuddin berkata kerajaan negeri Perak telah meluluskan tanah seluas 60 hektar untuk pembinaan kolej berkenaan.

Katanya, program pengajian di kolej itu akan memberi penekanan terhadap bidang pertanian, perladangan, bioteknologi, pengurusan kewangan, teknologi maklumat dan undang-undang perniagaan.

Tajuddin berkata, sementara menunggu pembinaan kolej siap sepenuhnya, Pusat Latihan Felcra di Seberang Perak akan dijadikan kampus sementara dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar akan dimulakan awal tahun depan.

Beliau berkata adalah menjadi matlamat Felcra menaikkan taraf Kolej Felcra itu menjadi sebuah kolej universiti dalam tempoh lima tahun akan datang dan menjadi sebuah universiti sepenuhnya dalam masa 10 tahun.
Felcra juga akan menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) terletak bersebelahan kolej itu nanti yang akan memberi tumpuan terhadap sektor pertanian seperti penanaman padi dan kelapa sawit. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Imigresen, PDRM siasat kehadiran dua peguam Perancis: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkaitan bagi menyiasat isu kehadiran dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham ke Dewan Negara, Khamis ini untuk memberi taklimat berhubung kes kapal selam Scorpene.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau sudah meminta laporan terperinci daripada Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu ini.

"Sekiranya perlu ditahan maka mereka akan ditahan tapi ia perlu ada asas yang kukuh.

"Itu saya serahkan kepada agensi dan pihak berkenaan untuk melakukan siasatan bersandarkan insiden yang berlaku sekarang," katanya ketika sidang media selepas merasmikan karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Justeru, katanya, beliau menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan keadaan ini walau apa juga keputusan yang akan dibuat nanti.


15.09 | 0 komentar | Read More

Muktamar PAS: Perwakilan saran kempen untuk Abdul Hadi jadi PM

KOTA BHARU: Seorang Perwakilan Dewan Ulamak PAS, Hairun Nizam, berkata parti itu tidak perlu berkempen untuk pemimpin lain menjadi perdana menteri selain presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Abdul Hadi adalah calon terbaik memegang jawatan perdana menteri sekiranya pembangkang berjaya merampas tampuk pimpinan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Ahli PAS seharusnya meletakkan keyakinan kepada presiden kerana beliau calon berkaliber menjunjung kepimpinan negara dengan dasar yang dirahmati. Bukan sengaja untuk menaikkan beliau, tetapi inilah calon terbaik memimpin negara mengikut lunas dan landasan Islam.

"Bukan sebaliknya berkempen untuk pemimpin lain yang tidak diyakini akan melaksanakan kepimpinan Islam di Malaysia," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada muktamar tahunan PAS ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, hari ini.

Hairun turut mengingatkan pimpinan tertinggi PAS tidak memilih calon yang meminta jawatan atau melobi menjadi calon pada pilihan raya umum kerana perbuatan meminta jawatan tidak terdapat dalam Islam.

"Sebaliknya calon dipilih melalui keikhlasan ahli yang meletakkan mereka sebagai calon," katanya.

Perwakilan dari Pahang, Mukhtar Senik, berkata ahli PAS perlu menolak ancaman yang cuba merobek kepimpinan ulama parti walaupun ancaman itu datang daripada kalangan ahli dan kepimpinan parti sendiri.
"Apabila masuk PAS jangan sekali-kali membawa fikrah di luar PAS ke dalam parti seperti membawa masuk kepimpinan sekular yang sekali gus mengancam kepimpinan ulama dalam PAS.

"Lebih parah lagi masuk PAS tetapi dalam masa sama memimpin jemaah lain dan memberi ruang pada musuh menembak PAS. Menghapuskan ancaman inilah dapat menjamin kepimpinan ulama kekal dalam PAS," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger