Diberdayakan oleh Blogger.

Popular Posts Today

Untung bersih Bursa Malaysia meningkat empat peratus kepada RM151.5 juta

Written By Unknown on Kamis, 31 Januari 2013 | 15.09

KUALA LUMPUR: Untung bersih Bursa Malaysia Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, meningkat empat peratus kepada RM151.5 juta daripada RM146.2 juta dalam tempoh sama 2011.

"Pendapatan kendalian mengukuh dua peratus kepada RM388.5 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bursa berkata, prestasi kukuh itu adalah berikutan peningkatan pendapatan dan urus niaga yang stabil.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan berkata, Bursa Malaysia melaporkan prestasi mantap pada 2012 dengan tiga tawaran awam permulaan yang besar dan pertumbuhan daripada segmen derivatif dan penyenaraian waran berstruktur.

Beliau berkata, yang nilai purata urus niaga harian untuk pasaran sekuriti turun kepada RM1.67 bilion untuk tempoh bawah kajian berbanding dengan RM1.79 bilion dalam tempoh sama sebelumnya.

"Sehubungan itu, pendapatan urus niaga merosot kepada RM178.3 juta daripada RM193 juta dalam tahun sebelumnya.

"Pendapatan yang rendah juga adalah disebabkan ketidakpastian pasaran global yang berterusan tetapi dikekang oleh sokongan daripada institusi domestik," katanya.
Tajuddin berkata, bursa sudah mengesahkan lagi keunggulannya sebagai destinasi penyenaraian sukuk terkemuka dunia dengan peningkatan 18 peratus terbitan daripada AS$28.5 bilion dalam tahun 2011 kepada AS$33.7 bilion pada 2012.

Beliau berkata, Bursa Malaysia mencadangkan dividen akhir 13.5 sen sesaham, sekali gus menyaksikan jumlah dividen untuk tahun penuh 2012 dibayar 27 sen sesaham.

"Ini mewakili nisbah jumlah pembayaran 95 peratus untuk tahun 2012. Cadangan dividen akhir akan dikemukakan kepada pemegang saham di mesyuarat agung tahunan ke-36 pada bulan Mac tahun ini untuk mendapatkan kelulusan mereka," katanya.

Tajuddin berkata, petunjuk awal untuk 2013 menunjukkan perkembangan positif seiring dengan prospek ekonomi dan asas perniagaan negara. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Piagam '10 Minutes Clearance' diperkenal di KLIA mulai esok

PUTRAJAYA: Piagam '10 Minutes Clearence' akan diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mulai esok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia diarah menetapkan tempoh maksimum 10 minit terutamanya pada waktu puncak bagi pelanggan melepasi pemeriksaan imigresen, termasuk tempoh berbaris di kaunter pendaftaran pintu masuk KLIA.

"Inisiatif ini yang akan dilaksanakan mulai 1 Februari 2013 akan dapat mengurangkan kesesakan dan masa menunggu pelawat sekali gus mmemberi imej positif kepada negara," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta memberi gambaran baik terhadap imej Malaysia di kalangan masyarakat antarabangsa.

"Adakalanya penumpang terpaksa beratur satu jam, sungguhpun bukan terlalu kerap tetapi ketika jumlah penumpang terlalu ramai, terutamanya pada waktu puncak. Jadi PM kata mesti selesaikan penumpang dalam masa 10 minit," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga akan menambah kaunter bagi memastikan inisiatif baru itu berjalan lancar selain menambah anggota dalam tempoh terdekat.

Inisiatif seumpamanya, katanya, sudah pun dilaksanakan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini.
Mengulas kematian pengawal keselamatan, C Sugumaran yang didakwa dipukul anggota polis, Hishamuddin berkata, peguam negara meluluskan permohonan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah supaya inkues berhubung kes itu diadakan.

"Penting keadilan, kalau sekiranya polis bersalah...dari dulu lagi saya dah kata mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Tapi janganlah kita ambil keputusan tanpa ia disiasat dan tanpa mengetahui kebenarannya.

"Saya difahamkan bahawa 160 saksi sudah diambil (keterangan), 95 peratus daripadanya orang awam. Jadi gembar-gembur yang dikeluarkan dalam media sosial memang tidak berasas," katanya.

Hishammuddin berkata, beliau turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung siasatan kes itu kepada Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, semalam. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Dadah: Empat warga Iran terselamat dari tali gantung

SHAH ALAM: Empat warga Iran, dua daripadanya wanita, terlepas daripada hukuman mati selepas mahkamah tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri.

Pesuruhjaya Kehakiman Choong Siew Khim membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Zahra Rajabali Dorido Latabadi, 56, Kobra Mohammad Azimidarnish Mohammad, 43, Davood Ali Tofighi, 27, dan Mahmoud Ali Dast Bordeh, 27.

Zahra didakwa mengedar Methamphetamine seberat 430.7 gram, Kobra (410.6 gram), Davood (423.1 gram) dan Mahmoud (386.4 gram) di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Aras 3, Main Terminal Building, KLIA, kira-kira jam 11 malam pada 14 November 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kesemua dadah ditemui di dalam sandal yang dipakai mereka.

Enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Choong berkata, pegawai penyiasat didapati tidak menjalankan siasatan dengan baik dan barang kes (dadah) hanya ditandakan selepas 23 jam dirampas.
"Dalam kes pendakwaan, terdapat perbezaan ketara dalam berat kasar dadah yang disenaraikan dalam laporan polis dengan jumlah diterima ahli kimia. Percanggahan berat yang sangat jelas seperti ini menjejaskan rantaian keterangan.

"Ini menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini. Oleh itu, pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh. Sewajarnya, keempat-empat tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," katanya.

Sejurus hakim membacakan keputusannya, keempat-empat warga Iran berkenaan menangis dan keluar dari kandang tertuduh lalu bersujud di atas lantai tanda kesyukuran.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz manakala kesemua warga Iran terbabit diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan T.Vijayandran. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Rogol: Bekas anggota tentera kekal dipenjara 20 tahun, tujuh sebatan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan yang dikenakan terhadap bekas anggota tentera yang didakwa merogol seorang kerani selepas melanggarnya dengan sebuah kereta, dua tahun lalu.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak rayuan tertuduh, Che Mohd Sufian@Che Bastian Che Rashid, 31, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran dan peguam Adenan Ismail.

Amelia, dalam penghakimannya berkata Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid tidak terkhilaf ketika mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 13 Disember 2011.

Beliau berkata, faktor mitigasi yang dikemukakan Adenan bahawa anak guamnya kehilangan pekerjaan selepas disabitkan bersalah bukanlah faktor mitigasi yang diambil kira mahkamah kerana ia adalah akibat perbuatan yang dilakukannya sendiri.

Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Jalan AU 25/26, Ampang antara jam 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 November 2011.

Berdasarkan perbicaraan kes, ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Gurney untuk ke tempat kerja, tiba-tiba dia dilanggar sebuah kereta milik tertuduh dan kemudian mangsa jatuh lalu tertuduh mempelawa untuk membawanya ke hospital.
Namun, mangsa tidak dibawa ke hospital sebaliknya dibawa ke rumah tertuduh.

Sejurus tiba di rumah itu, tertuduh membenamkan muka mangsa di atas tilam dan mengikat tangan mangsa ke belakang dengan menggunakan pita pelekat lalu merogolnya.

Pada 7 Ogos tahun lalu tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengurangkan hukuman. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

CUEPACS mahu pegawai kontrak diserap, tidak perlu kajian

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang sudah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit sudah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.

"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu sudah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-Pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak.

Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain.

"Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya.
Selain itu, Omar berkata, CUEPACS turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak.

Tegas beliau, pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap.

Sementara itu, CUEPACS katanya, sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.

Antara isu yang akan dibangkitkan termasuk gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.

Dalam pada itu, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Februari depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya.

"Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada CUEPACS.

"Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dulu," kata Omar. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

BN dijangka menang PRU-13, Najib calon PM popular: Kaji selidik

Written By Unknown on Rabu, 30 Januari 2013 | 15.09

KUALA LUMPUR: Kira-kira 63 peratus mahasiswa di seluruh negara menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat tahun ini.

Ia berdasarkan kajian dilakukan Yayasan Ehwal Siswa (YES) bulan lalu di tiga universiti utama di Lembah Klang membabitkan 3,000 responden terdiri mahasiswa daripada pelbagai kursus pengajian dan negeri, termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Universiti terbabit ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengerusi YES, Datuk Mohd Radzi Abd Latif, berkata kajian yang turut membabitkan responden daripada negeri di bawah pimpinan pembangkang turut menunjukkan Datuk Seri Najib Razak adalah calon Perdana Menteri popular untuk terus memimpin Malaysia.

"Secara keseluruhannya, 57 peratus responden yang mewakili UKM dengan 75 peratus, UPM (67.4 peratus) dan UM (41.4 peratus) mengatakan kepimpinan Perdana Menteri baik dan popular.

"Manakala, secara purata dengan 59 peratus daripada responden berasal dari negeri pembangkang termasuk Selangor dan Pulau Pinang mengakui Najib pilihan utama sebagai Perdana Menteri" katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, media sosial seperti Facebook dan Youtube adalah sumber utama yang paling kerap dilayari dan dipercayai oleh mahasiswa untuk mendapatkan berita politik serta perkembangan semasa.
"Dengan sampel yang besar serta kebolehpercayaan yang tinggi, BN dijangka menang," katanya.


15.09 | 0 komentar | Read More

ATM bakal miliki satelit transponder sendiri pada 2014

KUALA LUMPUR: Transformasi pertahanan negara kali ini berjaya mengorak langkah ke hadapan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal mempunyai satelit komunikasinya sendiri yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan 2014.

Panglimanya, Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain, berkata dalam meningkatkan keupayaan sistem pertahanan negara peranan komunikasi amat penting terutama dalam penyampaian dan penerimaan maklumat sulit kepada pesawat tempur dan kapal perang ATM oleh itu negara bersetuju membangunkan sebuah 'Transponder Satellite' bagi tujuan komunikasi.

"Satelit Transponder berperanan sebagai satelit komunikasi dan dijangka dapat meningkatkan sistem komunikasi sedia ada yang mampu berfungsi dengan semaksimum mungkin. Ia sedang dibangunkan melalui kerjasama syarikat satelit terkemuka yang membantu kita dalam penggunaan teknologi ini," katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini di pejabatnya di sini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan satelit transponder itu akan disewa ATM dari syarikat berkenaan.

"Kita akan menyewa transponder itu selama 15 tahun kerana ia menjimatkan kos berbanding untuk membangunkan satu satelit ketenteraan yang menelan belanja berbilion ringgit," katanya.

Beliau berkata satelit itu yang menggunakan spesifikasi X-band, mampu beroperasi selama 20 hingga 25 tahun dan ATM dijangka turut mampu meningkatkan keupayaan pertahanan negara dalam tempoh waktu berkenaan.

"Satelit ini khusus bagi meningkatkan keupayaan komunikasi tentera kita yang berada di kawasan yang berisiko rendah menerima isyarat komunikasi," katanya.
Beliau turut menafikan kegunaan satelit yang dibangunkan ATM itu bertujuan untuk risikan sebaliknya ia lebih tertumpu dalam memperkasakan sistem komunikasi.

X-band Satelit Transponder ialah sistem komunikasi digital khas untuk tentera bagi penghantaran data tinggi, suara dan video.

Ia akan menggunakan empat transponder berkuasa 60-MHz dengan satu lagi transponder sebagai simpanan.

Antara syarikat tempatan yang menggunakan satelit transponder biasa, syarikat perkhidmatan televisyen berbayar, Astro. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Perdagang kanak-kanak: 2 tertuduh bayar jaminan RM100,000

BUTTERWORTH: Dua daripada lima tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 25 Januari lalu atas dakwaan memperdagang kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi membayar wang jaminan masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin hari ini.

Tertuduh Lim Soo Chin, 52, yang menghadapi satu tuduhan manakala D.C. Chin, 57, berdepan enam pertuduhan, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Kedua-dua wanita itu bersama dua lagi wanita dan seorang lelaki iaitu Ooi Ah Imm, 47, Lim Choon Liang, 63, dan Bahtiar Abas, 51, didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 607) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu di Taiping, Pantai Remis, dan Ipoh, Perak; Juru dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang; serta Lunas di Kedah antara 28 Disember 2009 hingga 16 Januari lalu.

Mahkamah menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri itu, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Mereka ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember 2012, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.
Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

Sindiket yang aktif sejak 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta
mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka.

Semalam Mahkamah Majistret Bukit Mertajam melanjutkan tempoh perintah reman selama tujuh hari terhadap dua wanita dan seorang lelaki yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Semua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu turut dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah jagaan sementara di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Perhimpunan 12 Januari: Polis minta 14 saksi tampil

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengedarkan gambar 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan di ibu negara 12 Januari lalu yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dalam perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata keterangan 14 saksi itu

penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan berkenaan. "Kita minta saksi yang gambar mereka telah kita siarkan agar tampil segera bagi membantu pihak polis. Perbuatan membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mohmad berkata jika disabit kesalahan melanggar syarat itu, penganjur boleh dihukum denda maksimum RM20,000 mengikut Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata 14 saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau 03-90516222 atau tampil di mana-mana balai polis.

Katanya, orang ramai yang mengenali 14 saksi yang gambar mereka diedarkan melalui media dan lama Facebook itu, boleh memberikan maklumat kepada polis atau memaklumkan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, Mohmad berkata polis memburu enam suspek berumur 24 hingga 35 tahun berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Flat Sri Johor di Cheras di sini, awal pagi semalam.

Katanya dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun telah diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika dia sedang menggunakan telefon awam.
"Siasatan awal kita mendapati suspek telah menunggu mangsa di dalam dua buah kereta sebelum bertindak menyerang mangsa. Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam di antara dua kumpulan kongsi gelap," katanya.

Katanya mangsa kini dirawat di sebuah pusat perubatan kerana mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala dan telinga kiri.
"Mangsa kini dilaporkan stabil namun terpaksa menerima 158 jahitan di bahagian kepala dan telinga," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

MRT Corp beri kontrak RM19.5 juta kepada kontraktor Bumiputera

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 pakej kerja bernilai RM19.5 juta diberikan kepada kontraktor Bumiputera kelas G1, G2 dan G3 bagi projek MRT Lembah Klang.

Semasa mengumumkannya hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Sdn Bhd Datuk Azhar Abdul Hamid berkata kontrak tersebut merupakan sebahagian sasaran kerajaan mencapai 43 peratus penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek infrastruktur mega negara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengundian, beliau berkata undian hari ini merupakan kali kedua diadakan melibatkan 541 pemohon.

Undian pertama diadakan pada akhir tahun lepas dengan sembilan kontraktor diberikan RM7.5 juta nilai kontrak.

MRT Corp memperuntukkan 250 pakej kerja, bernilai RM200 juta terutamanya bagi kontraktor Bumiputera.

"Kami menjangka kebanyakan kontrak akan diberikan tahun ini dan bakinya pada permulaan tahun depan," katanya.

Beliau berkata MRT Corp akan mengadakan undian setiap suku tahun untuk memberikan kontrak bagi pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Skop kerja untuk kontraktor Bumiputera dalam kelas G1, G2 dan G3 termasuk penyenggaraan jalan sedia ada; kerja permukaan perparitan; landskap; pagar dan pintu pagar; pembinaan tempat menunggu teksi dan bas.

"Kontrak Bumiputera yang berjaya akan menjalani latihan mandatori selama dua hari sebelum memulakan kerja pembinaan.

"Modul latihan ini disediakan oleh Pusat Khidmat Kontraktor di bawah Kementerian Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia, Unit Penyelaras Agenda Bumiputera dan MRT Corp," katanya.

Pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer kini berjalan sepenuhnya dan dijangka siap pada 2016 dan memulakan operasi pada Januari 2017.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

546 nelayan Beluran terima elaun sara hidup

Written By Unknown on Selasa, 29 Januari 2013 | 15.09

BELURAN: 546 nelayan dari kawasan Beluran menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 seorang di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dalam ucapan perasmian pada majlis itu berkata, jumlah peruntukan keseluruhan bagi pemberian elaun sara hidup nelayan itu berjumlah RM109,200.

Katanya, pemberian elaun sara hidup nelayan adalah antara usaha dan inisiatif kerajaan untuk membantu masyarakat nelayan di negara ini.

"Saya percaya ia (elaun) ini akan menjadi pendorong kepada para nelayan untuk terus berusaha gigih, dalam memajukan industri perikanan seterusnya menjamin bekalan makanan negara sentiasa mencukupi khususnya di negeri Sabah dan Malaysia amnya," katanya.

Teks ucapannya disampaikan ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

Menurutnya, selain elaun ini, nelayan juga menerima bantuan subsidi minyak petrol dan diesel untuk membantu meringankan kos operasi nelayan ke laut.

Beliau berkata, di samping itu, nelayan juga dibayar wang insentif tangkapan iaitu 10 sen bagi setiap sekilo ikan yang ditangkap. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Mayat mangsa insiden di Algeria dibakar esok

IPOH: Mayat mendiang Chong Chung Ngen yang terbunuh dalam peristiwa tebusan kumpulan militan di Algeria akan dibakar di Krematorium Kok Lek Seah, Bercham di sini, petang esok.

Adik mendiang, Michael Chong, 52, berkata keluarganya akan mengadakan upacara berjaga sehingga malam ini sebelum mayat mendiang Chong, 55, dibawa ke krematorium tersebut dari Gereja St Michael, Jalan Gereja di sini pada 2.30 petang.

"Mayat mendiang tiba di gereja ini pada 5 pagi tadi selepas hampir tiga jam bertolak dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur. Isteri dan anak mendiang ada di sini untuk menerima mayat mendiang," katanya di Gereja St Michael di sini, hari ini.

Beliau berkata, abu mayat mendiang akan disemadikan di gereja itu.

Mayat mendiang Chong ditempatkan di sebuah dewan di gereja berkenaan untuk upacara keagamaan selain diberikan penghormatan terakhir oleh anggota keluarga, sanak saudara serta sahabat handai.

Isteri Chong, Karen Tham Yoke Hing, 54, dan anak perempuannya Rachel Chong, 21, yang merupakan penuntut Nanyang Technological University di Singapura yang berada di dewan itu dilihat tenang sambil ditemani rakan serta saudara terdekat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Soon yang mewakili kerajaan negeri hadir di dewan itu untuk memberikan penghormatan terakhir selain menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada keluarga mendiang.
Dalam insiden 16 Januari lalu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria menjadi tebusan kumpulan militan.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.

Chong yang juga seorang inspektor kawalan kualiti dan baru tiga bulan bertugas di sana, serta Tan Ping Wee dari Port Dickson, Negeri Sembilan disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala tiga lagi rakyat Malaysia; K Ravi, Lau Seek Chiang dan Patrick Purait Awang terselamat. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Dana kerajaan banyak, tidak diancam kemuflisan: Muhyiddin

SARIKEI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Malaysia sedang menuju kemuflisan.

"Malah, kita ada banyak dana. Tahun lepas, contohnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri memungut RM125 bilion sebagai pendapatan negara. Ini tidak pernah dicapai sebelum ini.

"Jadi, kedudukan kewangan kita sangat kukuh. Kita juga mengurus kewangan kita dengan sangat baik. Belum ada seorang pun penjawat awam yang tidak dibayar gajinya," kata beliau ketika berucap pada majlis bertemu rakyat yang dihadiri lebih 5,000 orang di Pusat Sivik di sini, hari ini.

Beliau berkata, tujuan Anwar menyebar pembohongan itu adalah semata-mata untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

Muhyiddin berkata, dengan lebihan dana yang ada, lebih banyak program pembangunan akan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat, terutama dalam bidang pendidikan di Sabah dan Sarawak.

"Sebenarnya, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada rakyat dan amat prihatin tentang kebajikan mereka, bukan seperti pembohongan yang disebar Anwar. Kami juga memberi fokus terhadap usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat, sesuatu yang kami lakukan sejak lama dulu. Kini, kami mencapai kejayaan yang amat besar dalam aspek ini," katanya.

Muhyiddin berkata, tiada rakyat Malaysia yang mati akibat kebuluran, malah ramai daripada mereka obes kerana makanan terlalu banyak, hinggakan perkara ini menjadi masalah besar dalam kalangan pelajar di seluruh negara.
Di peringkat nasional, katanya, kadar kemiskinan hanya tiga peratus, manakala di Sarawak, kadarnya hanya empat hingga lima peratus.

"Kami ada program seperti e-kasih yang menyimpan data tentang kemiskinan tegar dan bentuk bantuan yang kami hulurkan kepada mereka. Terdapat kira-kira 45,000 isi rumah yang digolongkan sebagai miskin tegar.

"Kejayaan e-kasih diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu kerana tidak banyak negara di dunia, malah dalam kalangan negara maju, yang melaksanakannya," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN akan meneruskan agenda menolong rakyat dan memastikan negara ini makmur, bersatu padu dan stabil dengan sokongan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.

"Pilihan raya umum adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk menyatakan mereka mahu ia diteruskan dan mencapai lebih banyak kejayaan.

"Pilihan terletak di tangan anda. Sekali lagi, tolong beri mandat penuh anda kepada BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan pemberian geran RM45 juta untuk pembinaan Jalan Bukit Kuang-Tanjung Manis, termasuk sebuah jambatan. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Zambry tolak dakwaan hanya dua kerusi DUN diberi kepada MIC

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menolak dakwaan hanya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi MIC di Perak pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi pihak tertentu.

"Jadi apa yang anda dengar dua kerusi, tiga kerusi atau tujuh, lapan kerusi, itu hanyalah spekulasi daripada pihak tertentu.

"Kita biasanya melaksanakan persefahaman (mengenai pembahagian kerusi) berdasarkan kuota yang kita ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Rakyat, di sini.

Katanya, sokongan masyarakat India dan MIC terhadap BN tidak wajar dipandang rendah.

MIC diperuntukkan dua kerusi Parlimen iaitu Tapah dan Sungai Siput pada pilihan raya umum lalu, yang menyaksikan calon BN, M Saravanan memenangi kerusi Tapah manakala Datuk Seri S Samy Vellu gagal mempertahankan kerusi Sungai Siput.

MIC juga gagal mempertahankan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya iaitu Pasir Panjang, Behrang, Sungkai dan Hutan Melintang.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Istana Presiden Somalia dibom, dua maut

MOGADISHU: Pengebom berani mati meletupkan bahan letupan di pekarangan istana presiden di Somalia hari ini, menyebabkan dua orang terbunuh.

Pegawai polis, Mohamed Ali, berkata individu berkenaan meletupkan dirinya selepas anggota tentera menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan di pusat pemeriksaan kompleks istana yang dikenali sebagai Villa Somalia.

Villa Somalia mempunyai kawasan yang besar dengan dipenuhi beberapa bangunan dan pusat pemeriksaan.

Ali berkata, jarak kejadian itu berlaku agak jauh dari kediaman rasmi Presiden Hassan Sheikh Mohamud. Dimaklumkan, pada ketika itu presiden akan ke luar negara bagi urusan rasmi. - AP


15.09 | 0 komentar | Read More

Kerajaan sedia ambil tindakan berdasarkan laporan, resolusi RCI: Peguam Negara

Written By Unknown on Senin, 28 Januari 2013 | 15.09

TAWAU: Kerajaan bersedia mengambil tindakan terhadap apa juga laporan dan resolusi daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kehadiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata sekiranya terdapat unsur jenayah maka tindakan akan diambil dan jika didapati terdapat sesuatu yang tidak betul ia akan diperbetulkan.

"Ya (kita sedia ambil tindakan). Kita semua mesti ingat, kalau kesalahan jenayah, kita akan ambil tindakan. Kalau ada perkara yang tak betul akan dibetulkan. Itu janji kerajaan. Itu sebab kita ada RCI. Kalau kerajaan tak mahu buat (RCI), tak ada RCI.

"Tetapi kita mesti ingat, apabila kita bercakap tentang pendakwaan jenayah ini, kita kena tengok lagi adakah cukup bukti. Dalam RCI ini apa-apapun orang cakap boleh diterima, tanpa buktipun kita terima. Bukti keterangan khabar angin pun kita terima.

"Tapi untuk kita ke mahkamah, kita kena tengok keterangan yang boleh diterima. Itu kita mesti tengok tetapi itu bukan satu alasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap orang yang telah buat salah. Tak ada. Tetapi kita akan mengambil tindakan tetapi mesti mengikut lunas-lunas undang-undang.

"Jika saya tidak mengikut lunas undang-undang, orang akan kata, oh saya tak adil atau kerajaan tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan pembukaan Tahun Perundangan 2013 di Mahkamah Tawau di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.
Sehubungan itu, Abdul Gani meminta semua pihak supaya memberi kepercayaan penuh kepada RCI berkenaan yang disifatkannya setakat ini telah melakukan siasatan yang benar-benar mendalam dan menyeluruh dengan semua perkara di keluarkan.

"Semua orang pun tahu, ramai yang kena tangkap (termasuk) yang ada kad pengenalan pun dikeluarkan (dalam siasatan RCI). Itu menunjukkan ketelusan kerajaan.

"Satu lagi, kalau dipandang dari segi ini, itu adalah betul-betul janji ditepati kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) berkata dia akan membuat satu RCI yang telus dan dijamin perkara ini akan dibuat dengan cara telus dan baik. Kalau tidak takkanlah semua perkara ini keluar," katanya.

"Dan saya sangat bangga dan sukacita dengan perkara itu kerana itu yangkita mahu. Sebab apa, kebenaran pasti wujud sepertimana yang ada. Jadi kita tunggu.

"Lagi satu, jangan kelam kabbut memikirkan perkara itu. Kerajaan tidak akan membuat satu RCI, kalau kerajaan memang salah takkan kerajaan tangkap sampai 98 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri," katanya.

Abdul Gani berkata, mungkin ada kesilapan telah dilakukan sebelum ini dan kesilapan itulah yang ingin disiasat sama ada dilakukan pegawai-pegawai kerajaan, atau kerajaan sendiri ataupun ada unsur penipuan ataupun rasuah seterusnya diselesaikan yang akhirnya menggembirakan semua pihak.

"Dan kesilapan itu kita mesti dibendung, adalah penting bagi negeri ini (Sabah), ini negeri saya. Kita mesti lakukan sesuatu. Jadi janganlah kelam kabut, kita tunggu dan tengok (lihat), biarlah RCI itu buat kerjanya dengan baik," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Sokongan padu rakyat perlu bagi teruskan projek berimpak tinggi: TPM

KUCHING: Sokongan padu rakyat adalah amat perlu bagi membolehkan kerajaan sekarang meneruskan usaha melaksanakan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat besar kepada mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek berimpak tinggi ini telah dijalankan sejak tiga tahun lepas melalui pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang mengutamakan peningkatan pendapatan rakyat.

Biarpun Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya mencapai pembangunan lebih tinggi, apa yang lebih penting adalah impak positifnya kepada rakyat, katanya semasa berucap merasmikan kompleks Medan Niaga Satok yang bernilai RM46.6 juta di sini hari ini.

"Tidak ada maknanya sebuah negeri atau negara itu maju tetapi rakyatnya miskin. Kerajaan mempunyai wang yang banyak tetapi rakyat tidak mempunyai apa-apa," katanya.

Muhyiddin berkata, projek Medan Niaga Satok ini juga adalah salah satu projek yang berjaya menjana impak yang positif dalam membantu rakyat, khususnya golongan petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Melalui kerjasama erat kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, Muhyiddin berkata projek Medan Niaga Satok berjaya disiapkan dengan menyediakan ruang untuk lebih 2,000 peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka.

Selain itu, perancangan untuk menggabungkan industri berasaskan pertanian dengan industri pelancongan di medan niaga ini akan turut memberikan nilai tambah kepada usaha ini, katanya.
"Sebuah projek sebegini tentulah mempunyai kesan berganda, dalam bentuk jumlah bisnes dan perniagaan yang boleh dijana," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta lagi bagi menambah lagi kemudahan-kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di medan niaga ini.

Muhyiddin berkata, kejayaan melaksanakan projek ini menjadi satu lagi bukti keupayaan kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janjinya untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Sah mayat ialah William Yau: Polis

SUBANG JAYA: Keputusan DNA mengesahkan identiti mayat budak lelaki berusia enam tahun yang hilang di hadapan sebuah kedai elektrik di Putra Heights, di sini pada malam 16 Januari lalu adalah William Yau Zhen Zhong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata laporan awal mendapati spesimen darah A milik ibu mangsa, Goh Ying Ying, 26 dan darah B milik bapanya, Yau Kok Kang, 32 menunjukkan mayat berkenaan adalah anak kandung mereka.

"Keputusan DNA lewat petang semalam berkenaan mengesahkan kanak-kanak itu adalah William Yau," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa polis akan memanggil ibu bapa Zhen Zhong bagi membantu siasatan berhubung kononnya terdapat unsur penderaan ke atas anak mereka.

Yahaya berkata, pihak keluarga mangsa akan menuntut mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahiman sebelum tengah hari ini.

Sementara itu, mayat mendiang tiba di Taman Peringatan Melaka pada kira-kira jam 12.55 tengah hari tadi.

Mayat mendiang kemudiannya selamat dimasukkan ke tempat pembakaran mayat di Taman Peringatan Melaka di Jelutong, Batu Berendam kira-kira jam 2 petang tadi.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hassan dan ahli keluarga mendiang.


15.09 | 0 komentar | Read More

Balu Kanang terharu dikunjungi Muhyiddin

KUCHING: Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan betapa tersentuhnya perasaan Datin Brawang Chunggat, balu wira negara Datuk Temenggong Kanang Langkau, apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi meluangkan masa untuk menziarahi keluarganya di sini.

Muhyiddin, yang mempunyai jadual ketat dalam rangka lawatan tiga harinya ke Sarawak, meluangkan kira-kira 20 minit di rumah Brawang di Kampung Sungai Apong Baru, Pending di sini.

"Saya sungguh gembira dan amat bersyukur kerana beliau (Muhyiddin) sudi datang menziarahi keluarga saya untuk menawarkan bantuan serta memberi kata-kata semangat," katanya kepada pemberita selepas kunjungan Muhyiddin itu.

Kanang - wira kebanggaan negara adalah satu-satunya penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah tertinggi dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan, dan pingat Panglima Gagah Berani (PG) - kerana keberaniannya, terutama dalam menentang komunis - meninggal dunia pada 3 Januari tahun ini dipercayai akibat sakit jantung.

Beliau berusia 68 tahun.

Brawang berkata, Muhyiddin mendengar dengan teliti permohonannya untuk mendapatkan bantuan kerajaan, termasuk sebuah rumah dan elaun bulanan bagi menyara keluarganya dan timbalan perdana menteri berjanji perkara itu akan diteliti pihak berkuasa berkenaan.

Kata Brawang, suaminya, yang bersara sebagai Pegawai Waran 1, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja, menerima pencen dan elaun bagi dua pingat keberanian yang diterimanya.
Sambil menyatakan beliau masih belum bersedia sepenuhnya dari segi mental dan kewangan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa kehadiran suaminya, Brawang berkata, beliau berharap kerajaan akan bersimpati dengan nasib yang menimpanya.

Semasa kunjungan itu, Muhyiddin juga berbual-bual dengan anak Brawang, termasuk anak bungsu lelakinya Harrison Ketit, 16, pelajar Sekolah Vokasional Batu Lintang di sini, yang kelihatan gembira apabila menerima pemberian sebuah komputer riba daripada Muhyiddin untuk membantunya mengikuti pelajaran.

Brawang kemudian menghadiahkan Muhyiddin sebilah parang tradisional kaum Iban "parang ilang," sebagai tanda terima kasih keluarganya kepada timbalan perdana menteri kerana sudi menziarahi mereka.

Antara orang kenamaan yang mengiringi Muhyiddin dalam kunjungan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing dan Pengerusi Biro Penerangan Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Briged Ketiga Infantri Brig Jen Datuk Redzuan Baharuddin dan Panglima Briged Kesembilan Infantri Brig Jeneral Datuk Stephen Mundaw. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Agihan 20 peratus royalti minyak kepada negeri boleh bebankan Petronas

KUALA TERENGGANU: Agihan royalti dan wang ehsan sebanyak 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak dilihat boleh membebankan syarikat minyak nasional Petronas yang turut membantu dalam pembangunan negeri lain di Malaysia.

Penasihat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu, Datuk Wan Md Albakri Md Noor, berkata perjanjian agihan royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak selain wang ihsan kepada Terengganu telah termaktub dalam perjanjian sejak Petronas ditubuhkan.

"Kalau kita lihat dari segi struktur hasil negara, itu (minyak) merupakan satu sumber yang begitu besar... jadi sumber petroleum merupakan sumber negara yang terbesar, maka hasil itu mestilah digunakan untuk membangunkan semua negeri-negeri," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya keistimewaan yang diberikan kepada negeri pengeluar minyak ketika awal perjanjian dengan Petronas adalah atas faktor negeri-negeri yang terbabit ketika itu merupakan antara negeri yang masih lagi mundur dan memerlukan lebih banyak pembangunan.

Katanya isu royalti dibangkitkan oleh pihak pembangkang ketika ini hanya semata-mata bermotif politik dan bukan atas agenda untuk membangunkan negeri terbabit.

Beliau berkata isu yang dibangkitkan pembangkang itu tidak banyak memberi kesan kepada sokongan politik kepada Barisan Nasional (BN).

"Orang Terengganu saya rasa lima peratus, 10 peratus, 20 peratus royalti, bukan itu buat orang untuk sokong kerajaan atau tidak sokong, royalti tidak banyak mempengaruhi pilihan raya, tapi kalau orang tak sokong kerajaan mesti dia kata mengapa tidak bagi 20 peratus.. ianya bukan satu isu buat orang betul-betul beri sokongan," katanya.
Katanya jika kadar agihan tersebut dinaikkan kepada 20 peratus sebagai contoh Terengganu mendapat wang ehsan RM1.8 bilion setahun, maka ia sudah pasti akan meningkat kepada hampir RM8 bilion seandainya perkara itu menjadi kenyataan.

"Bagi 20 peratus (royalti) ini secara umum satu angka yang tidak realistik untuk diagihkan kepada negeri, kalaulah nak lebih sikit, wajar dipertimbangkan," katanya.

Menurutnya progam dan agenda kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat sebenarnya lebih penting daripada tuntutan royalti minyak sebagaimana yang dicanangkan oleh pihak pembangkang hari ini.

"Yang rakyat mahu ialah ekonomi mereka bertambah tidak ditahap lama, kalau pendapatan RM1,000 meningkat kepada RM1,500 dan begitulah seterusnya, ini yang lebih penting bagi saya dalam perancangan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagaimana untuk membantu dan menggerakkan kemajuan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Petronas juga perlu melihat kembali kesan ekonomi kepada rakyat hasil perkembangan industri minyak seperti yang telah wujud di Terengganu.

Katanya Petronas perlu melihat mengenai peluang pekerjaan yang boleh rakyat Terengganu peroleh hasil perkembangan industri minyak di negeri ini.

Beliau berkata dalam industri petroleum peluang pekerjaan hanya akan wujud pada peringkat awal perkembangan industri tersebut khasnya dalam pembangunan prasarana industri yang memerlukan ribuan tenaga kerja.

"Sebab itu saya lihat di Terengganu, bukan tidak ada kesan, tetapi tidak sebagaimana jumlah pelaburan yang dibuat, sebab itu kita lihat pembangunan di Paka dan Kertih rancak semasa pembinaan, apabila dia dah mula keluar produk (beroperasi) maka pekerja kuranglah," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Polis serah kertas siasatan berhubung kereta JPJ diterbalik dan dibakar

Written By Unknown on Minggu, 27 Januari 2013 | 15.09

IPOH: Polis sudah menyerahkan dua kertas siasatan berhubung kes kemalangan 10 kenderaan dan perbuatan jenayah menterbalik dan cuba membakar sebuah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sitiawan, baru-baru ini kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata satu kertas siasatan membabitkan siasatan kejadian kemalangan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala satu lagi mengikut Kanun Keseksaan kerana perbuatan jenayah ke atas kenderaan JPJ berkenaan.

Katanya, polis kini menunggu arahan lanjut pihak Timbalan Pendakwa Raya berhubung kedua-dua kertas siasatan itu.

"Dalam siasatan mengikut Kanun Keseksaan, kita sebelum ini menahan enam individu tetapi kesemua mereka kini dibebaskan dengan jaminan polis.

"Sebelum ini juga tiga pegawai JPJ dipanggil memberi keterangan," katanya pada sidang media IPK Perak, di sini, sebentar tadi.


15.09 | 0 komentar | Read More

6 juta permohonan BR1M sudah diproses: Ahmad Husni

IPOH: Sebanyak enam juta permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sudah diproses oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pembayarannya akan mula dilakukan bulan depan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata jumlah itu daripada 7.3 juta permohonan termasuk permohonan baru yang diterima.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Kampung Tersusun, Batu 6, Tambun, dekat sini, hari ini.
15.09 | 0 komentar | Read More

SKMM perlu tegas bagi tingkat keyakinan orang ramai: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantapkan penguatkuasaan dan bertindak tegas ke atas pihak yang melakukan kesalahan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

Sehubungan itu, beliau mahu SKMM menilai semula latihan bagi tenaga kerjanya serta peralatan yang diguna supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Sekiranya penguatkuasaan kita berada di tahap biasa, maka kita akan dikalahkan oleh pihak-pihak yang melakukan jenayah ini," katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Badminton Persahabatan antara D'SURY dan SKMM di Dewan Badminton, Istana Negara lama, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi serta pegawai kanan SKMM.

Rais juga menjangka kesalahan membabitkan jenayah dalam talian seperti penggunaan bahasa lucah dan ugutan meningkat ketara pada masa akan datang dan perlu ditangani dengan berkesan.

"Ini juga termasuk kes-kes seperti memperkecilkan atau mempersendakan agama orang lain, mempersendakan budaya orang lain atau sesuka hati membuat saman malu terhadap pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu berani tampil mendedahkan maklumat berhubung kesalahan dalam talian supaya siasatan dapat dijalankan dan seterusnya menjamin keutuhan undang-undang negara.
Selain itu, Rais berkata, SKMM juga perlu tegas dalam menguatkuasakan Akta Perlindungan Peribadi 2010 kerana membabitkan pelbagai maklumat sulit dan peribadi individu seperti nombor telefon, kad kredit dan akaun bank.

"Sekiranya maklumat ini dicabul atau disalah guna oleh pihak lain, bagaimana SKMM harus membantu pihak-pihak ini supaya mereka berasa teguh?

"Apa tindakan SKMM supaya orang ramai yakin terhadap sistem perbankan, sistem kad kredit dan juga sistem penyimpanan rekod masing-masing," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Rais menyentuh mengenai perlawanan persahabatan itu yang menurutnya bukti sebuah "keluarga" besar seperti Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dapat berkumpul untuk mewujudkan keharmonian dan kemesraan sesama sendiri.

"Ini satu aktiviti yang sangat harmoni dan pada masa akan datang boleh diadakan di dewan yang lebih besar supaya dapat membabitkan semua anggota KPKK," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

300 pelancong Vietnam bakal lawat Pulau Bidong

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 300 pelancong yang berasal dari Vietnam akan melawat Pulau Bidong yang pernah dijadikan kawasan penempatan pelarian Vietnam, apabila ia dibuka semula kepada pelawat Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata mereka adalah sebahagian daripada rakyat Vietnam yang bermastautin di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan Australia.

Tujuan mereka datang ialah untuk melihat beberapa peninggalan sejak pelarian Vietnam ditempatkan di pulau itu pada 1978 dan kemnya ditutup pada 1991, katanya.

"Mereka berhajat untuk datang semula untuk mengingati nenek-moyang mereka yang bersemadi di situ," katanya.

Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membersih dan mengekalkan keindahan alam semulajadi Pulau Bidong yang akan dijadikan antara tarikan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

2 lemas ketika mandi sungai di Tuaran

TUARAN: Dua lelaki dilapor mati lemas ketika mandi di sungai berdekatan Kampung Nawai, Kiulu, kira-kira 40 kilometer dari sini, hari ini.

Mayat Safardi Taumin, 21, dan Ahmad Aimurrahim Paidi, 19, dijumpai penduduk kampung kira-kira jam 10.25 pagi tadi.

Difahamkan kedua-duanya dari Kampung Kebayau, Telipok mandi di sungai itu kira-kira jam 9 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata bomba sukarela dan polis turut dihantar ke tempat kejadian. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

200 peniaga kecil di Sabak Bernam ditawarkan insurans P1MPIN

Written By Unknown on Sabtu, 26 Januari 2013 | 15.09

SABAK BERNAM: Kira-kira 200 peniaga dan penjaja yang beroperasi di tapak pasar pagi di pekan ini ditawarkan Pelan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor, Azizan Ariffin, berkata pelan itu adalah percuma dan menerusi insurans berkelompok itu, pencarum akan dilindungi sehingga RM5,000 sekiranya berlaku kematian.

"Penawaran P1MPIN ini adalah untuk peniaga dan penjaja yang mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya kepada pemberita sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke pasar itu di sini, hari ini.

Muhyiddin yang melawat gerai peniaga di pasar itu selama kira-kira setengah jam turut menyampaikan brosur P1MPIN kepada 17 penerima.

Timbalan Perdana Menteri yang diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan pemimpin setempat turut bersarapan di situ.

Peniaga buah, Foo Kok Chin, 48, yang sudah berniaga sejak 1997 di sekitar daerah ini berkata skim insurans itu melengkapi pelan perlindungan nyawa yang beliau sudah miliki.

"Saya menganggap penawaran insurans ini sebagai satu lagi 'payung' kepada keluarga saya sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas menerima brosur P1MPIN daripada Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke daerah ini.
Foo yang mempunyai dua anak berusia tujuh dan 14 tahun berkata, usaha kerajaan pusat itu sangat bagus kerana selain percuma, ia juga menjamin masa depan keluarga jika sesuatu tidak diingini menimpa mereka. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Projek Langat 2 akan tetap diteruskan demi kepentingan rakyat: Muhyiddin

SABAK BERNAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan pusat akan meneruskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dalam masa terdekat walaupun tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor.

"Kerajaan pusat kata, lulus tak lulus kita sudah tawar kontrak bina Langat 2... dalam sebulan dua, kita buat juga Langat 2 demi kepentingan rakyat dan bukan Menteri Besar ataupun pakatan pembangkang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program mesra rakyat 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat masa sekarang bagi menampung permintaan air yang semakin meningkat di kalangan rakyat, beberapa buah loji rawatan air di negeri itu terpaksa meningkatkan tahap pengeluaran sehingga 100 peratus.

Projek Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan sebanyak 40.55 peratus iaitu kira-kira 29 bulan disebabkan keengganan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberikan kelulusan yang diperlukan.

Mengikut perancangan asal, projek yang juga sebahagian komponen Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor itu akan dilaksanakan melalui dua fasa membabitkan 23 pakej pembinaan bagi setiap fasa.

Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.
Mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari empat syarikat konsesi di negeri itu, Muhyiddin berkata, kerajaan pusat tidak menghalang usaha itu selagi ianya berlandaskan undang-undang dan peraturan.

"Kerajaan pusat tidak sekat usaha kerajaan negeri ambil alih empat syarikat konsesi ini. Pergilah ambil alih konsesi air dan buat rundingan dengan pihak konsesi ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor ada ikatan dan perjanjian dengan semua syarikat konsesi dan mereka harus selesaikan pengambilalihan secara rundingan atas dasar persetujuan antara pembekal dan pembeli.

"Justeru, kerajaan negeri tidak boleh mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi secara sewenang-wenangnya sebab terikat dengan undang-undang dan akta yang termaktub dalam perjanjian konsesi," katanya.

Empat syarikat konsesi air di Selangor ialah Syarikat Pengeluar Air Berhad, Konsortium Abbas, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Puncak Niaga.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, laporan lengkap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir bulan ini.

"Kita telahpun mengadakan rundingan meja bulat dan menerima pandangan dari pelbagai pihak untuk pelan ini bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya dan menurutnya pihak kementerian sudah berjumpa seramai 17,000 orang yang menyertai inisiatif itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan sebuah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di Sabak Bernam yang juga sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan dan menaik taraf PPD.

Beliau juga mengumumkan peruntukan RM3.65 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di daerah Sabak Bernam iaitu pembinaan 30 unit rumah, sebuah surau, kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, menaik taraf jalan dan kemudahan asas.

Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk memulakan lawatan ke daerah ini dengan menghadiri beberapa program mesra rakyat di samping mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin UMNO Bahagian Sabak Bernam dan Bahagian Sungai Besar. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Najib berjaya pasarkan "Malaysia" di Davos

DAVOS (Switzerland): "Malaysia" berjaya dipasarkan di pentas dunia dan diyakini, itulah yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik mengakhiri lawatan kerja ke bandar pelancongan yang menganjurkan Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013.

Berpuas hati dengan hasil kerja keras memasarkan Malaysia sepanjang forum itu berlangsung, Najib berkata, beliau yang dibantu tiga orang menteri kanan telah berjaya menyampaikan "kisah Malaysia" kepada sebahagian besar peserta forum kali ini.

Dianggarkan lebih 3,000 peserta menghadiri forum berprestij itu. Mesyuarat Tahunan WEF itu berlangsung selama lima hari hingga esok.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata, keputusan untuk menyertai WEF secara besar-besaran pada tahun ini dibuat kerana beliau begitu yakin Malaysia sememangnya sarat dengan kejayaan, terutamanya melalui transformasi yang besar, khususnya bidang ekonomi yang menjurus ke arah negara berpendapatan tinggi kurang lapan tahun lagi.

Katanya, Malaysia juga sudah berjaya menambah pelaburan, meningkatkan nilai pasaran saham dan menyediakan peluang pekerjaan.

"Kita juga berjaya membendung inflasi, kadar pengangguran yang rendah, kedudukan ranking yang lebih baik oleh World Bank dan IMD. Kejayaan ini, kita dapat persembahkan ketika pertemuan-pertemuan yang diatur sepanjang WEF ini berlangsung," katanya.
Najib turut yakin Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pendapatan per kapita lebih AS$15,000 sekiranya kadar pertumbuhan negara mencecah lima peratus setiap tahun.

Katanya, pendapatan per kapita sudah melonjak kepada AS$9,750 pada akhir tahun lalu daripada AS$6,700 empat tahun lalu.

"Ini semua menjadi satu pakej yang kita akan paparkan kepada komuniti antarabangsa di Davos dan tidak ada platform yang lebih besar dan lebih strategik daripada WEF," katanya.

Perdana Menteri berkata, Malam Malaysia, iaitu kemuncak penyertaan negara di WEF ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang, melebihi jangkaan 400 orang.

"Dalam keadaan yang muram, ekonomi dunia terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat, Malaysia adalah antara beberapa tempat di mana mereka melihat sinaran kejayaan kita dalam menguruskan ekonomi negara dan membawa pembaharuan ataupun transformasi yang kita janjikan itu."

Turut hadir di Malam Malaysia itu ialah Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babacan; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Thailand, Kittiratt Na-Ranong; dan beberapa ketua-ketua eksekutif, dan penggubal keputusan di organisasi masing-masing.

"Apa yang kita cuba tonjolkan pada malam itu hanya bayangan apa yang boleh mereka nikmati, kecapi dan rasai sekiranya mereka melawat Malaysia, apatah lagi jika memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Ditanya sama ada pendekatan sama akan digunakan di masa akan datang, Najib berkata: "Kita akan buat analisa keberkesanan di Davos."

Namun katanya, penyertaan Malaysia di WEF Davos akan dikukuhkan dan ditingkatkan lagi dari masa-masa lalu.

Ditanya sentimen peserta terhadap Malaysia, Perdana Menteri berkata: "Kita merupakan negara yang telah berjaya menguruskan ekonomi dengan baik dan berkesan.

Mereka tertarik kepada peluang yang bakal diperoleh dari Malaysia dan ini adalah berdasarkan kepada beberapa faktor seperti dasar, insentif dan juga respons kita kepada pertanyaan mereka melalui Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Ekonomi".

"Mekanisme kita berjaya menambah tahap keyakinan pelabur. Semakin kita yakin, semakin berjaya kita tarik pelaburan."

Semalam, Najib mengumumkan potensi pelaburan berjumlah kira-kira RM5.5 bilion ke Malaysia membabitkan tiga buah syarikat asing.

Pertemuan Perdana Menteri dengan wakil tiga syarikat itu diadakan ketika berlangsungnya WEF. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

BN berkeupayaan peroleh kemenangan dua pertiga pada PRU-13

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) berkeupayaan memperoleh kemenangan dua pertiga di dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan.

Beliau berkata, untuk kemenangan dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"InsyaAllah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga pada pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta yang menghadiri majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, di sini, hari ini.

Fuad melahirkan keyakinannya bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor terhadap BN akan melebihi tahap 65 peratus dan mencecah sehingga 80 peratus dan lebih.

Katanya, sokongan pengundi masyarakat India terhadap BN juga sudah pulih daripada kejatuhan pada pilihan raya umum 2008, selain berkeyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN kali ini.

Menurut Fuad, banyak daripada isu yang dimainkan pembangkang seperti pembelian kapal selam Scorpene, loji nadir bumi Lynas dan lain-lain "diselesaikan", menyebabkan pembangkang kini tercari-cari isu baru.
Katanya, usaha pembangkang untuk mengumpul sejuta orang pada perhimpunan di Stadium Merdeka 12 Januari lalu, gagal kerana perhimpunan itu itu hanya dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Beliau berkata, pembangkang menolak tawaran kerajaan supaya himpunan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih besar kerana menyedari ketidakmampuan mereka untuk menarik peserta yang ramai ke perhimpunan terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, jentera media sosial BN meliputi Twitter, Facebook dan lain-lain medium kini lebih bersedia dan berkemampuan untuk menangani serangan daripada pembangkang berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, Fuad meminta media sosial BN meneruskan usaha mereka dengan mendekati kira-kira 2.8 juta pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU-13 ini.

Pengundi muda terbabit katanya, tidak lagi bergantung kepada media lama seperti suratkhabar dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, tetapi bergantung sepenuhnya kepada internet dan media sosial seperti Facebook dan Twitter. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

MRSM Tawau kini dikenali MRSM Tun Mustapha

TAWAU: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tawau yang beroperasi sejak 2008 kini dikenali MRSM Tun Mustapha, sempena nama tokoh negarawan dari Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Pengumuman mengenai pertukaran nama MRSM berkenaan dilakukan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Kita mengenang jasa seorang pemimpin kita. Kebiasaannya MRSM ini ada di merata tempat dan di Lipis (Pahang) kita namakan MRSM Tun Ghazali Shafie, di Melaka kita namakan MRSM Tun Ghafar Baba dan di sini kita tahu Tun Mustapha mempunyai sumbangan kepada negara kita dan di Sabah khususnya," katanya.

Shafie ditemui pemberita selepas majlis itu di sini, hari ini. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Pang Yuk Ming, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad.

Menurut Shafie, tokoh negarawan itu banyak berjaya kepada negara, khususnya Sabah, termasuk dalam bidang pendidikan dengan menghantar ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran di MRSM dan sekolah di Semenanjung serta Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) melalui pembiayaan Yayasan Sabah. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Ibu bapa kanak-kanak hilang tiba di hospital Klang

Written By Unknown on Jumat, 25 Januari 2013 | 15.09

PETALING JAYA: Keluarga kepada William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak 16 Januari lalu, tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, sebentar tadi.

Mereka tiba jam 11 pagi dipercayai bagi membantu mengenal pasti identiti mayat yang ditemui di jeti Sungai Sireh, lewat petang semalam.

Ibu bapa William kemudian kelihatan dibawa ke milik mayat hospital itu.

Pasangan berkenaan diiringi beberapa anggota polis itu hadir bagi menjalankan proses pengecaman penemuan mayat kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, sehingga kini, pasangan berkenaan masih tidak lagi keluar dari bilik forensik dan difahamkan mereka tidak mahu bersemuka dengan media yang menanti seawal jam 9 pagi.

Selain media, ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, turut menanti di pekarangan rumah mayat jabatan terbabit.

Micheal ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengedarkan 20,000 risalah tentang kehilangan William ke Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
Petang semalam, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan antara enam hingga tujuh tahun ditemui tersangkut di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau, dekat sini.

Mayat yang belum diketahui identitinya itu ditemui masih berkemeja T kolar bulat dengan tulisan 'Active Group, Best Team' berwarna jingga kekuningan.

Ketika ditemui orang awam kira-kira jam 6.30 petang semalam, mayat itu memakai seluar pendek yang sama warna dengan bajunya dan dalam keadaan tidak memakai kasut.


15.09 | 0 komentar | Read More

3 firma asing labur RM5.5 bilion di Malaysia

DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan potensi pelaburan berjumlah kira-kira RM5.5 bilion ke Malaysia melibatkan tiga syarikat asing.

Ia adalah hasil pertemuan dengan syarikat berkenaan di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung selama lima hari sehingga 27 Januari ini.

Najib berkata, Itochu Steel Industry telah menunjukkan minat untuk mengadakan usahasama dengan Petronas, syarikat minyak negara, dalam bidang petrokimia di Rapid Pengerang.

"Perkara ini boleh dikatakan hampir menjadi kenyataaan . Ia akan memberi kesan kepada perkembangan projek Rapid Pengerang itu," katanya kepada wartawan Malaysia, lewat semalam.

Selain itu, syarikat ini berminat untuk membina sebuah kilang yang akan mengeluarkan paip bersepadu untuk industry minyak dan gas.

Sementara itu, semasa pertemuan bersama Hanwha Group, syarikat itu menyatakan hasrat untuk melabur dalam syarikat pengurusan aset, pembinaan dan syarikat insurans nyawa.

Perdana Menteri berkata konglomerat yang mengambil alih Q-Cells, syarikat Jerman yang mengeluarkan sel fotovoltan (PV) itu dengan nilai RM1.4 bilion, diyakini akan menambah pelaburan pada masa akan datang.
Difahamkan syarikat berkenaan akan melabur sebanyak RM3 billion selama lapan tahun.

Bagi Evonik Industries AG, Najib berkata syarikat ini pula akan menubuhkan syarikat usahasama dengan Petronas juga dalam bidang petrokimia.

"Projek ini boleh dikatakan telah dipersetujui secara prinsipnya. Dalam tempoh
setahun ini mereka akan buat kajian lebih terperinci lagi. Kerja-kerja akan bermula pada tahun hadapan," katanya.

Najib kini dalam rangka lawatan kerja sempena WEF, sehingga 26 Januari ini.

Sementara itu, dalam pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan Kanada, James M Flaherty, Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada kerajaannya di atas kelulusan untuk Petronas membuat pelaburan yang besar melalui Progress Energy.

"Ini adalah satu pelaburan yang begitu strategik Petronas kerana ia akan menambah jumlah rizab gas dengan ketara yang akan dapat dikuasai oleh syarikat petroleum ini.

"Beliau juga berharap hubungan ekonomi kedua-dua negara akan dapat ditingkatkan lagi," katanya.

Dalam pertemuan beliau bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Pascal Lamy, Najib berkata pemimpin itu mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana memainkan peranan yang aktif dan positif untuk menggalakan rundingan ke arah sistem 'rules base' atau asas peraturan.

"Beliau juga menghargai usaha kita memulihkan rundingan Doha yang agak terbantut sekian lama.

"Lamy merasakan bahawa rundingan di peringkat pelbagai peringkat ini dulu memberi tumpuan atau aspek-aspek yang boleh membawa kepada persetujuan secara kolektif. Ia termasuk pemudahan perdagangan dalam rundingan pelbagai peringkat kerana pemudahan perdagangan kalau diputuskan akan mengurangkan kos menjalankan perniagaan," kata Perdana Menteri.

Dalam pertemuan terakhir pada hari pertama lawatan kerja beliau bersama Perdana Menteri Netherland, Mark Rutte, Najib berkata Malaysia diminta untuk mengkaji bagaimana negara kecil tersebut mampu menjadi pengeluar bunga dan hasil pertanian antara yang terbesar di dunia dengan menggunakan teknologi dan secara intensif.

"Saya turut membayangkan kita juga berminat untuk menarik penyertaan Rabobank di Malaysia... bank yang terlibat dalam bidang pertanian," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Najib ditemu bual Al-Jazeera

DAVOS (Switzerland): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memulakan hari kedua lawatan kerja ke Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 dengan sesi siaran television dari Al-Jazeera.

Sesi interaktif itu akan membincangkan kelembapan ekonomi dan kesannya.

Mesyuarat WEF adalah forum ekonomi yang dinanti-nantikan, menghimpunkan pemimpin berpengaruh dari politik, perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan pelbagai isu global.

Acara tahun ini yang bertemakan 'Resilient Dynamism', merupakan platform untuk menampilkan pertumbuhan cergas ekonomi Malaysia dan peluang pelaburan yang lumayan berlatar belakangkan ketidaktentuan ekonomi dunia pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Najib juga akan mengunjungi Presiden Swiss Confederation, Ueli Maurer, sebelum menjadi hos kepada mesyuarat makan tengah hari yang akan memberi tumpuan kepada sumber asli Malaysia sebagai peringkat untuk transformasi dan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.


15.09 | 0 komentar | Read More

Kerajaan peruntuk RM24 juta projek kemudahan asas di Mukim Bukit Kepong: Muhyiddin

MUAR: Kerajaan memperuntukkan RM24 juta bagi pelaksanaan projek kemudahan asas di Mukim Bukit Kepong di sini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, projek itu ialah pembaikan sebahagian jalan pintas sejauh 20 kilometer dari Bukit Kepong ke Felda Maokil, Labis, sejumlah RM20 juta dan pembinaan kompleks serbaguna di Pekan Bukit Kepong berharga RM4 juta.

"Saya sudah minta Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membaiki kerosakan di sebahagian Jalan Bukit Kepong-Maokil.

"Pembinaan jalan pintas itutelah dan akanmemberi manfaat kepada pengguna-pengguna jalan raya kerana ia dapat memendekkan tempoh perjalanan dari Bukit Kepong ke Maokildari sejam kepada hanya setengah jam sahaja," katanya ketika berucap di majlis bersama masyarakat Orang Asli di Balai Raya Kampung Sawah Laku, Bukit Kepong di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM120,000 untuk pembinaan balai raya di Kampung Orang Asli Bukit Panjang di mukim itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan ahli Parlimen Pagoh berharap dengan pembinaan semua kemudahan itu, dapat meningkatkan taraf hidup dan produktiviti penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli.

Katanya, kesediaan kerajaan melaksanakan projek pembangunan seumpama itu yang adalah usaha berterusan adalah bukti kerajaan prihatin terhadap masalah rakyat.
"Kalau dahulu tidak ada jalan, kita bina jalan supaya penduduk dapat kemudahan, kita bina sekolah supaya anak-anak kita di luar bandar menjadi lebih cerdik, kita bekalkan air bersih supaya kesihatan rakyat terjamin," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan penduduk dan masyarakat Orang Asli di kawasan itu supaya tidak terpengaruh dakyah pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan terutama menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau mahu mereka mengekalkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memastikan momentum pembangunan dapat diteruskan.

Sementara itu pada majlis sembang santai bersama masyarakat Tionghua di halaman Tokong Taman Sg Meda, Bukit Kepong, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf jalan dan kemudahan asas di dua buah tokong di kawasan itu dan pembinaan padang Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kepong. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Ibu bapa William Lau kelihatan menangis keluar hospital Klang

KLANG: Polis akan mengadakan satu sidang media jam 4 petang ini dipercayai berkaitan penemuan satu mayat kanak-kanak serta kehilangan budak lelaki berusia enam tahun, William Yau Zhen Zhong pada 16 Januari lalu.

Sidang media itu dijadual diadakan di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya.

Sementara itu, ibu bapa William kelihatan keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dalam keadaan sedih dan menangis selain enggan ditemu bual.

Kedua-dua mereka meninggalkan kawasan terbabit menaiki sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh anggota polis.

Mereka tiba jam 11 pagi dipercayai bagi membantu mengenal pasti identiti mayat yang ditemui di jeti Sungai Sireh, lewat petang semalam.

Petang semalam, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan antara enam hingga tujuh tahun ditemui tersangkut di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau, dekat sini.

Mayat yang belum diketahui identitinya itu ditemui masih berkemeja T kolar bulat dengan tulisan 'Active Group, Best Team' berwarna jingga kekuningan.
Ketika ditemui orang awam kira-kira jam 6.30 petang semalam, mayat itu memakai seluar pendek yang sama warna dengan bajunya dan dalam keadaan tidak memakai kasut.


15.09 | 0 komentar | Read More

PELINDUNG sokong tindakan tegas sekolah salah guna wang bantuan

Written By Unknown on Kamis, 24 Januari 2013 | 15.09

KOTA BHARU: Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (PELINDUNG) menggesa Kementerian Pelajaran mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan.

Presidennya, Ahmad Othman, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggagalkan matlamat kerajaan untuk membentu pelajar, khasnya golongan miskin daripada menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan itu.

"Selain bercanggah dengan Pekeliling Kementerian, ia juga menyalahi peraturan dan etika kemasyarakatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini yang meminta pihak sekolah tidak menyalahgunakan pemberian wang bantuan awal persekolahan RM100 setiap pelajar bagi meringankan bebanan ibu bapa pada awal musim persekolahan.

Sebelum itu, akhbar melaporkan terdapat sebuah sekolah di Johor yang menawarkan potongan bayaran yuran komputer jika ibu pelajar menjelaskan kesemua bayaran dengan menggunakan wang bantuan awal persekolahan itu.

Ahmad berkata, walaupun kejadian itu tidak dilaporkan berlaku di Kelantan, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan perkara sama turut membabitkan sekolah di Kelantan.

Ini kerana kebanyakan ibu bapa, terutama yang berpendapatan rendah terpaksa menanggung banyak hutang dengan pihak sekolah dan PIBG seperti pelbagai jenis yuran.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Kerajaan lahir rasa syukur kepulangan dua bekas tebusan Algeria

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Luar melahirkan rasa kesyukuran atas kepulangan dua rakyat Malaysia yang dijadikan tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria pada 16 Januari lalu.

Kementerian dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan menekankan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan perlu dijaga terutama ketika menghadapi saat getir seperti insiden itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua bekas tebusan iaitu K Ravi dan Lau Seek Chiang yang tiba pada jam 2.15 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot dan beberapa pegawai kementerian itu.

Kenyataan itu juga menyebut kedua-dua keluarga bekas tebusan itu memohon supaya masyarakat menghormati privasi mereka dan memberi ruang agar kedua-duanya dapat memulihkan trauma yang dihadapi berikutan peristiwa getir tersebut.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Chong Chung Ngen yang dilaporkan hilang semasa insiden tebusan itu disahkan terbunuh oleh Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman semalam berkata, mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang masih hilang, Tan Ping Wee, kementeriannya menghantar seorang diplomat kanan untuk membantu kedutaan di sana bagi mempercepatkan usaha mencari, serta memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria berjalan lancar.

Dalam insiden yang berlaku minggu lalu itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di OGPC In Amenas menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pejuang Islam di Mali.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Pengawal kelab malam maut ditembak

BUTTERWORTH: Seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer' maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata mangsa, Fauzi Hussin, 24, ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi ini.

"Sepasukan anggota kita bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring dengan satu kesan tembakan mengenai rusuk kirinya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu polis menahan enam orang termasuk dua wanita warga Vietnam di sekitar daerah Seberang Perai Utara iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati salah seorang daripada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah perancang utama kejadian berkenaan dan polis turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian," katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki berkenaan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.

Katanya, mangsa dan suspek berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika pergaduhan itu berlaku dan pihak polis turut menemui beberapa botol arak di tempat kejadian.
"Kes itu dianggap selesai selepas kita menahan enam suspek dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Nasrudin tidak patut perlekeh lawatan PM ke Gaza: Khairy

TEMERLOH: Ketua Dewan Pemuda PAS, Pusat Nasrudin Hassan tidak sepatutnya memperlekeh lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Palestin bagi memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada Israel.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Nasrudin sebenarnya iri hati kerana lawatan Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa rakyat Palestin dan pemimpin Hamas.

Beliau berkata, Nasrudin sepatutnya mengetepikan kepentingan politik dengan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri kerana lawatan itu menunjukkan rakyat negara ini sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Sikapnya itu amat tidak matang apabila mencampurkan soal politik dalam negara dengan perjuangan kemanusiaan bagi membebaskan bumi Palestin dan rakyatnya yang dizalimi Israel sejak puluhan tahun lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Pemuda UMNO Pahang dalam siri lawatan kerjanya bagi meninjau persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nasrudin dalam blognya yang mencemuh lawatan Perdana Menteri ke Gaza dengan perkataan kesat.

Dalam perkembangan lain, Khairy malahirkan rasa hairan dengan sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kekal dengan pendirian membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
Katanya, Anwar sepatutnya tidak menunjukkan sikap percanggahan dengan keputusan Majlis Syura PAS pada 13 Jan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

"Kenyataan bercanggah antara PAS dan Anwar menyebabkan umat Islam terutamanya mereka yang tidak berparti merasa kecewa dan PAS sepatutnya perlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, Pemuda UMNO akan memberi tumpuan untuk menawan pengundi muda yang masih tidak mempunyai parti dan akan mengundi kali pertama pada pilihan raya umum akan datang bagi menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Pemuda UMNO akan memberi fokus memikat 40 peratus pengundi muda atas pagar daripada keseluruhan pengundi muda semua kaum di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, jentera pilihan raya pemuda BN perlu mendekati seramai mungkin pengundi muda dengan menggunakan rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter.

"Selain menggunakan hujah berfakta, Pemuda BN perlu berkempen 24 jam menerusi akses media sosial terutamanya bagi mengesan mereka yang berada di luar kawasan serta melalui aktiviti sukan, masjid, ceramah, kebajikan dan sebagainya," katanya.

Khairy berkata, sokongan golongan muda terhadap BN dan kepimpinan Najib semakin meningkat setiap hari.

"Walaupun kita berpuas hati terhadap respons yang ditunjukkan oleh pengundi muda, namun kita akan terus tingkatkan lagi sokongan golongan itu kepada BN," katanya. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

PERKESO edar baucar saringan kesihatan percuma

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selesai menghantar baucar saringan kesihatan percuma kepada 1.9 juta pencarum yang layak, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, PERKESO memperuntukkan RM200 juta di bawah skim berkenaan yang baru sahaja dimulakan dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Februari ini.

Ujian saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat pada 28 September tahun lalu.

Di bawah skim itu, pencarum PERKESO berumur 40 tahun ke atas layak menjalani ujian saringan kesihatan percuma bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan masalah jantung.

Mohammed Azman berkata, ujian saringan itu meliputi pemeriksaan fizikal, profil darah, ujian air kencing dan bagi wanita ujian 'pap smear' dan mamogram yang akan dilakukan oleh doktor panel.

Beliau menasihati mereka yang belum menerima baucar percuma itu menghubungi hotline PERKESO 03-42521258, 03-42524475/76 dan 03-42525089 atau pejabat Perkeso terdekat untuk mendapatkan maklumat.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengalu-alukan langkah Perkeso melaksanakan skim itu dalam tempoh empat bulan selepas ia diumumkan dan berharap Perkeso terus memantau pekerja yang selesai menjalani saringan bagi memastikan mereka sihat sehingga mencapai umur persaraan.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Banjir di Beluran pulih, mangsa dibenar kembali ke rumah

Written By Unknown on Selasa, 22 Januari 2013 | 15.09

BELURAN: Keadaan banjir di Beluran kini pulih dengan sembilan keluarga dari dua kampung yang berpindah dibenar pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Lapan keluarga terbabit dari Kampung Kiabau, Telupid, manakala sebuah lagi dari Kampung Sungai-Sungai di Sugut.

Menurut Penolong Pegawai Daerah Telupid, Benedict Asmat, jalan utama ke Kampung Kiabau dan Kampung Baba serta Asuan juga sudah boleh dilalui kenderaan.

Bagaimanapun, bilik gerakan banjir di Pejabat Urusetia Kecil Telupid masih dibuka bagi memantau keadaan, katanya.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Kiabau dibuka hari ini, manakala tiga lagi iaitu SK Nangoh, SK Sungai-Sungai dan Sk Perancangan masih ditutup.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Pelajar Nigeria dihukum mati kerana edar dadah

ALOR SETAR: Seorang pelajar lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 16.9 kilogram kanabis, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tidak melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi John Amaechi Eze.

John, 23, pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur didapati bersalah melakukan perbuatan itu di depan Dewan Lye Huat Garden, Jitra pada kira-kira 9.30 malam, 10 Mei 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

John yang kelihatan tenang ketika keputusan disampaikan, kemudiannya memohon kebenaran mahkamah untuk menghubungi keluarganya di Nigeria kerana sejak ditahan dia tidak pernah menghubungi mereka.

Mohd Zaki memberitahu perkara itu akan diuruskan oleh peguam bela dan pendakwa raya.

Tertuduh diwakili peguam Ali Munawar Razak manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Kerajaan Kelantan fail injuksi halang PETRONAS bayar royalti kepada Kerajaan Pusat

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan memfailkan injuksi di Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) daripada membayar royalti minyak kepada Kerajaan Persekutuan.

Injuksi itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini.


15.09 | 0 komentar | Read More

Enam anggota 'Chandra' ditahan, dadah RM1 juta dirampas di JB

JOHOR BAHRU: Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta di sebuah stor yang dijadikan makmal memproses dadah di Plentong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata kesemua anggota kumpulan 'Chandra' itu yang berumur lingkungan 26 hingga 50 tahun ditahan kira-kira jam 3.45 petang selepas polis bertindak atas maklumat.

"Pemeriksaan di stor itu menemui 27 kilogram dadah disyaki ketamin, empat gram dadah disyaki heroin, 43 gram dadah disyaki syabu dan 63 biji dadah disyaki pil ekstasi. Kesemua dadah itu mampu dibekalkan kepada 137,000 orang penagih," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, hari ini.

Zainuddin berkata, pemeriksaan lanjut di premis itu turut menemui 100 peluru hidup berukuran 9mm dan 0.45mm, sehelai vest polis, wang tunai RM14,000, alat penimbang, alat pembakar dan sebuah Toyota Hilux.

Beliau berkata, polis sedang mengesan senjata api yang berkemungkinan dimiliki kumpulan itu yang dipercayai terbabit dengan jenayah sejak setahun lalu.

Katanya, lima daripada lelaki itu positif dadah dan tiga daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, curi serta menceroboh rumah.

"Polis percaya dadah itu diedarkan di sekitar bandar raya ini dan kita juga tidak menolak kemungkinan dadah ini dijual di pasaran antarabangsa.
"Keenam-enam lelaki itu sedang disiasat untuk tindakan mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Gempa 6.0 magnitud ragut nyawa kanak-kanak di Banda Aceh

BANDA ACEH: Gempa kuat dan lemah melanda sebahagian barat Indonesia awal pagi tadi, membunuh kanak-kanak berusia 9 tahun, dan mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk. Hasil gempa itu turut menyebabkan beberapa penduduk cedera.

Agensi meteorologi dan geofizik Indonesia mengesahkan ukuran awal pada 6.0 magnitud dan tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami.

Gempa itu berpusat di barat daya Banda Aceh dan 6 kilometer dari kerak bumi.

Gegaran itu berlaku kira-kira jam 5.22 pagi tadi, menyebabkan penduduk di bandar dan kampung di seluruh kawasan utara Pulau Sumatera cemas. Gempa susulan bermagnitud 4.7 berlaku beberapa minit kemudian.

Ketua daerah Pidie, Sarjani Abdullah, berkata kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun itu ditemui mati dalam runtuhan rumahnya. Sementara itu, sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia 3 tahun mengalami luka dan patah tulang.

- AP


15.09 | 0 komentar | Read More

Ferrer benam Nishikori untuk mara ke suku akhir Terbuka Australia

Written By Unknown on Minggu, 20 Januari 2013 | 15.09

MELBOURNE: Pilihan keempat dari Sepanyol, David Ferrer menundukkan pemain Jepun, Kei Nishikori dengan straight set untuk mara ke suku akhir kejohanan tenis Terbuka Australia, hari ini.

Ferrer menewaskan pilihan ke-16 dari Jepunitu dengan 6-2, 6-1, 6-4 dalam permainan dua jam 10 minit di Rod Laver Arena bagi mengesahkan kemunculan ketiga berturut-turut pada peringkat suku akhir di sini. - AFP


15.09 | 0 komentar | Read More

Seorang rakyat Malaysia dikhuatiri maut di Algeria: Anifah

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Algiers, Algeria mendapat maklumat tentang kemungkinan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan berikutan serangan kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di In Amenas, maut, manakala nasib seorang lagi belum diketahui.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Menteri Luar, Datuk Sri Anifah Aman berkata, wakil JGC Construction Pte. Ltd, syarikat yang menjadi majikan rakyat Malaysia berkenaan, memaklumkan kepada kedutaan itu mengenai perkara terbabit.

"Kedutaan Malaysia akan berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria dan JGC Construction Pte.Ltd bagi mendapat pengesahan tentang perkembangan terkini dua rakyat Malaysia itu," katanya.

Sementara itu, pegawai Kedutaan Malaysia di Algiers sudah berjumpa dengan tiga rakyat Malaysia yang menjadi tebusan dalam serangan itu dan dipindahkan ke ibu negara Algeria itu.

"Persiapan sedang dibuat untuk membawa mereka pulang ke tanah air dan
Wisma Putra sudah memaklumkan tentang keadaan mereka kepada keluarga masing-masing," kata kenyataan itu. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Tiba masanya Malaysia tubuh bank data mengenai kematian akibat lemas

KUALA LUMPUR: Masanya sudah tiba bagi Malaysia menubuhkan sebuah bank data mengenai kematian akibat lemas bagi menyimpan maklumat tentang gender, kumpulan umur, lokasi dan punca kejadian, kata Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Dalam kenyataan hari ini, pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan sehingga kini, belum ada pihak berkuasa di negara ini yang mengumpul dan menyimpan data tentang kes lemas dan mengeluarkan laporan tahunan mengenainya, selain Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Malaysia perlu memberi fokus terhadap kes lemas yang semakin meningkat di negara ini, sama ada di pantai atau di tempat lain serta mengambil langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian dan meningkatkan keselamatan, bukan sahaja di pantai, tetapi juga di tempat lain, yang memungkinkan berlakunya kejadian lemas," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, pertubuhan dan agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan kawasan pantai untuk mengenal pasti dan lebih penting lagi, meminimumkan risiko berlaku kecederaan dan kematian akibat lemas.

"Tanggungjawab ini tidak memadai dengan hanya memasang tanda amaran atau menyediakan peralatan keselamatan," katanya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebanyak 386 kes lemas dilaporkan pada 2011, manakala bagi sembilan bulan pertama tahun lepas, jumlahnya ialah 322.

"Banyak faktor yang menjadi penyebab berlakunya kes lemas seperti akses tidak terhad ke kawasan pantai, kurang pengetahuan dan kefahaman tentang keadaan air, kejahilan, sikap ambil mudah atau tersilap perkiraan tentang bahaya, ketiadaan pengawasan secara terus menerus dan kurang kesedaran serta pendidikan mengenai keselamatan di tempat berair dan cara menyelamatkan diri serta nyawa," katanya.
Sambil menyifatkan strategi pengurusan keselamatan dan risiko adalah amat penting bagi mengurangkan kematian akibat lemas, Lee berkata pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan mampu mengurangkan kejadian terbabit.

"Kita patut anjurkan pengawasan sewajarnya dilakukan di pantai dan tempat berair lain yang menjadi tumpuan ramai, menggubal peraturan sokongan yang mewajibkan penggunaan pelampung dalam semua kegiatan di kawasan berair dan mendidik ibu bapa tentang pentingnya mereka sentiasa mengawasi anak masing-masing ketika berada di pantai atau di kolam renang hotel," katanya.

Lee berkata, pendidikan tentang amalan keselamatan ketika melakukan kegiatan berkaitan air dan bahaya berkaitan air yang diurus secara teliti adalah antara langkah pencegahan yang perlu diguna pakai di negara ini. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dipolitikkan: Najib

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata soal akidah dan prinsip agama Islam tidak boleh dikompromi dan dipolitikkan.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini perlu menolak dan tidak memberi sokongan langsung kepada sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba memesong akidah atau mengelirukan fahaman mereka.

"Bila Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) buat sesuatu, buat apa sokong. Ini boleh buat umat Islam sakit hati.

"Ini soal agama, soal akidah, ini soal prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ini bukan soal politik," katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini hari ini.

Beliau membidas sikap PAS yang menyokong tindakan DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Najib menjelaskan umat Islam langsung tidak mahu menyakiti orang bukan Islam begitu juga sebaliknya dan situasi inilah yang menjamin keamanan dan keharmonian negara.

Isu itu dibangkitkan Lim yang Ketua Menteri Pulau Pinang semasa berucap sempena sambutan Hari Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu.
Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz serta Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.

Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah Allah. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Malaysia jalin kerjasama dengan CIA, MI-6, perisikan Mesir

KUALA LUMPUR: Malaysia menjalin kerjasama dengan tiga agensi perisikan iaitu di Amerika Syarikat, Britain dan Mesir untuk mengetahui keadaan dua lagi rakyat negara ini, yang belum dikenali, dalam insiden tebusan di timur Algeria, Afrika Rabu lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerjasama itu melibatkan Central Intelligence Agency (CIA) Amerika Syarikat, MI-6 Britain dan agensi perisikan Mesir.

Beliau berkata, maklumat terkini masih tidak nyata, menyebabkan kerajaan memilih untuk mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk agensi perisikan, demi mengetahui keadaan rakyat negara ini yang menjadi tebusan di sana.

"Saya pantau secara dekat dan kita mempunyai rangkaian dengan badan-badan risik tak semestinya di Algeria, tapi berdekatan dengannya (Algeria). Saya tak nafikan laporan yang datang itu tak begitu jelas bergantung kepada sumber maklumat yang kita terima.

"Saya juga dapat laporan daripada unit anti keganasan kita. Tapi saya akui bahawa maklumat yang kita terima itu ada yang bercanggah. Kita tidak tahu apa yang jelas dalam insiden ini tetapi kedudukan rakyat kita sentiasa menjadi pertimbangan," katanya pada sidang media selepas program Rondaan bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan Ampang di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, di Timur Algeria menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.

Insiden tebusan itu percayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur Perancis untuk menyerang pemberontak Islam di Mali.
Sehingga kini tiga daripada lima rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat iaitu K.Ravi, Lau Seek Chiang, dan Patrict Purait Awang yang akan kembali ke tanah air dalam waktu terdekat manakala dua lagi belum dikenal pasti.

Terbaru, Kedutaan Malaysia di Algiers, Algeria mendapat maklumat tentang kemungkinan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan berikutan serangan kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di In Amenas, maut, manakala nasib seorang lagi belum diketahui. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Waspada "gelombang negatif" menjelang PRU-13: Hishammuddin

Written By Unknown on Sabtu, 19 Januari 2013 | 15.09

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta rakyat supaya berwaspada dengan apa yang disifatkannya sebagai "gelombang negatif" pihak tertentu menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, menerusi gelombang negatif ini, pihak-pihak terbabit akan menyebarkan pelbagai jenis fitnah dan penipuan, bertujuan memporak-perandakan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

"Saya berharap rakyat tidak akan terpengaruh dengan gelombang negatif ini yang penuh dengan penyebaran fitnah dan penipuan, kerana ia bertujuan untuk menghancurkan apa yang telah dibina oleh kita selama ini," katanya kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat penyelarasan Barisan Nasional (BN) Parlimen Semberong di pejabat MCA Bahagian Paloh di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Semberong juga meminta masyarakat supaya berwaspada dengan kunjungan ke rumah oleh pihak-pihak tertentu bertujuan menyebar agenda negatif.

"Pada saat-saat akhir ini, banyak pihak yang kita tidak kenal akan melawat rumah-rumah kita. Saya berharap rakyat akan berwaspada dengan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, banyak isu akan sengaja ditimbulkan pada saat-saat akhir ini termasuk yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, semata-mata untuk menyalahkan kerajaan.

"Isu-isu berkait dengan agama dan kaum akan diperbesar-besarkan untuk melaga-lagakan sesama kita. Ia juga berkemungkinan sengaja ditimbulkan untuk menyalahkan kerajaan," katanya.
Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak jika ia menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Hishammuddin berkata, kementeriannya menerusi Pemuda KDN yang mempunyai 1.1 juta anggota akan berusaha menangkis gelombang negatif yang cuba dibawa pihak terbabit.

Pemuda KDN, katanya, akan turun ke bawah untuk menerapkan gelombang positif seperti aspek-aspek semangat kesukarelawan dan menganjurkan kegiatan gotong-royong antara pemimpin serta masyarakat. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Reman tiga tahanan lolos disambung enam hari lagi

BUTTERWORTH: Perintah reman terhadap tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari polis dalam kejadian 7 Januari lalu, disambung enam hari lagi bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Abdul Wahab selepas pegawai penyiasat ASP Md Zailani Md Zain mengemukakan permohonan menyambung reman terhadap Mohd Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26.

"Perintah reman mereka tamat semalam dan kita mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan. "Kertas siasatan kes berkenaan hampir siap dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada pendakwa raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan semula enam hari selepas polis melancarkan gerakan memburu ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 9 pagi 7 Januari lalu.

Sementara itu, Abdul Rahim yang mengetuai pasukan khas Ops Kesan Gelugor itu berkata usaha memburu dua lagi tahanan yang masih lolos iaitu Hamzani Harun, 37 dan Hisham Abdul Rahman,39, masih diteruskan.

"Ops kita telah masuk hari ke 13 dan usaha memburu mereka giat dijalankan, berdasarkan maklumat yang diperoleh kita percaya mereka masih berada di Pulau Pinang," katanya.
Abdul Rahim turut meminta kerjasama orang ramai terutama anggota keluarga dua tahanan terbabit agar menghubungi polis jika mendapat maklumat atau dihubungi mereka.

Katanya polis yakin dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat.

Dalam kejadian itu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis.

Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.
- BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Jangan lobi jadi calon pilihan raya: Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak melobi untuk dipilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13.

Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, berkata semua bakal calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah calon yang dikehendaki rakyat dan mereka telah melalui proses saringan teliti.

"Saya menasihati supaya mereka yang beraspirasi mahu menjadi calon, tak perlu untuk berlegar atau berjumpa presiden dan timbalan presiden mana-mana komponen parti dalam BN atau saya.

"Jangan tunjuk gelagat-gelagat yang kurang baik ini kerana kami ada kaedah tersendiri dan kami mahukan calon yang rakyat nak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 Tahun 2013 bagi sekolah-sekolah di Parlimen Putrajaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pemimpin yang melobi pada saat-saat akhir untuk menjadi calon pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata pemimpin yang melobi untuk menjadi calon hanya akan menunjukkan mereka tidak berniat untuk menjadi wakil rakyat sebaliknya demi 'perkara-perkara lain'.

Apa yang penting ialah mereka yang ingin menjadi calon mesti sedar bahawa mereka adalah 'hamba rakyat', katanya.
Sementara itu, Tengku Adnan berkata semua calon BN yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 selesai melalui proses saringan termasuk oleh polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

Khamis lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berkata pembahagian kerusi antara parti komponen BN sudah hampir selesai dan sebahagian besar penentuan calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang juga telah diputuskan. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More

Banjir di Jakarta: Pelajar Malaysia dipindahkan meningkat

JAKARTA: Pelajar Malaysia dari Universiti Trisakti, Jakarta Barat, yang dipindahkan sementara ke Dewan Malaysia di Jakarta Pusat dalam kejadian banjir di Jakarta, kini bertambah menjadi 53 orang.

Mereka terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan 30 pelajar lelaki.

Pengarah Education Malaysia, Prof Madya Dr Juzhar Jusoh berkata kebanyakan daripada mereka yang baru berpindah sehingga pagi ini ke Dewan Malaysia itu adalah kumpulan pelajar yang baru pulang daripada menjalani latihan klinikal di luar kotaraya Jakarta.

"Semua pelajar berada dalam keadaan baik kecuali beberapa orang yang mengalami batuk dan selsema. Pihak keluarga pelajar juga telah dimaklumkan mengenai situasi terkini melalui telefon," katanya di sini.

Banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Jakarta sejak Selasa, masih menjejaskan sejumlah lagi kawasan penempatan, bahkan paras air Sungai Ciliwung terus meningkat akibat air yang turun dari daerah Depok.

Hingga pagi ini, banjir yang melanda kawasan Pluit di Jakarta Utara belum surut dan kawasan itu masih dinaiki air sehingga 1.5 meter.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata data yang dikumpulkan sehingga pukul 7 pagi ini mencatatkan 14 kematian akibat banjir sejak Selasa lalu dan daripada jumlah itu, enam mangsa meninggal dunia akibat kejutan elektrik apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air.
Mangsa-mangsa yang terkorban itu terdiri daripada sembilan orang dari kawasan Jakarta Barat, dua orang dari Jakarta Selatan dan masing-masing seorang dari Jakarta Timur, Jakarta Utara dan Jakarta Pusat.

Sehingga petang semalam, lebih 18,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir dan BNPB yang dibantu pelbagai agensi nasional serta pasukan keselamatan, sedang bertungkus lumus menguruskan bencana ini terutamanya bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa-mangsa.

Syarikat swasta turut menyumbangkan bantuan kepada mangsa banjir, termasuk Bank Mandiri yang pada pagi Sabtu menyerahkan bantuan kemanusiaan berupa makanan, kain selimut dan ubat-ubatan bernilai Rp1.125 bilion. - BERNAMA


15.09 | 0 komentar | Read More
techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger