KUALA LUMPUR: Selepas mencatatkan paras tertinggi pada 1,670.16, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan kenaikannya minggu depan dengan persekitaran luar yang bertambah baik serta sokongan daripada saham perbankan.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Bhd, Dr Nazri Khan, berkata indeks penanda aras diunjur meningkat seiring dengan kekuatan serantau.
"Ini akan terus disokong oleh aliran cergas data ekonomi China dan jangkaan rangsangan lebih agresif berikutan Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah akan datang.
"Susulan prestasi mingguan yang positif di AS dan Eropah serta pemulihan di China dan Jepun, kami menjangka FBM KLCI dapat mengekalkan momentum positif dan kemungkinan mencatatkan rekod baharu minggu depan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata laporan Moody's yang mengekalkan penarafan kredit gred pelaburan Sepanyol serta data ekonomi China lebih baik daripada jangkaan bagi suku ketiga bakal menjadi pencetus positif bagi sentimen pengambilan risiko.
Nazri berkata peneraju dan sokongan akan datang daripada sektor kewangan tempatan, dipacu oleh kekuatan dalam saham Maybank, Public Bank, CIMB dan Hong Leong Bank.
"Berdasarkan kepada lanjutan Fibonacci, kita ditambat pada 1,680 dan 1,700 memandangkan kebanyakan sasaran utama untuk jangka dekat dan sederhana FBM KLCI. Sokongan bagaimanapun mungkin datang daripada pengumpulan hampir paras 1,660 dan 1,650, katanya.
Selain daripada itu, beberapa pemangkin penting berkemungkinan mewarnai pasaran dalam jangka terdekat yang termasuk potensi penswastaan daripada syarikat penerbangan tempatan dan industri insurans serta potensi pusingan ketiga pengukuhan saham perbankan tempatan, kata Nazri.
Di pasaran dalam negara, Astro Malaysia Holdings Bhd disenaraikan semula di Pasaran Utama semalam, selepas dijadikan persendirian oleh pemegang saham utamanya, T. Ananda Krishnan pada 2010. Saham berkenaan bernilai RM8.3 bilion, atau RM4.30 sesaham, pada masa itu.
Kemunculan pertamanya pada Jumaat menyaksikan saham itu bergerak antara RM3.00 dan RM3.11, dan ditutup pada harga tawaran dengan 269.74 juta saham diniagakan.
Pada hari yang sama, FBM KLCI melepasi paras tertinggi beberapa kali sebelum berehat pada 1,670.16.
Bagaimanapun, pasaran berakhir bercampur-campur dengan kegiatan pengambilan untung sederhana dalam saham wajaran tinggi tertentu seperti Petronas Chemicals dan Maxis, yang seterusnya menarik turun indeks penanda aras.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 12.99 mata kepada 1,666.35 berbanding semasa ditutup pada Jumaat lepas pada 1,653.36.
Indeks Kewangan melonjak 179.23 mata kepada 14,884.8, Indeks Perusahaan naik
21.3 mata kepada 2,867.8 dan Indeks Perladangan menambah 19.81 mata kepada 8,195.61.
Indeks FBM Emas meningkat 69.7 mata kepada 11,312.16, FBMT100 menokok 69.14 mata kepada 11,151 dan Indeks FBM ACE naik 81.84 mata pada 4,282.79.
Indeks FBM 70 bagaimanapun susut 8.72 mata kepada 12,169.73.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 5.956 bilion saham bernilai RM7.976 bilion daripada 4.477 bilion saham bernilai RM6.601 bilion minggu lalu.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 4.801 bilion unit bernilai RM7.786 bilion daripada 3.407 bilion units bernilai RM6.418 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak 883.272 juta saham bernilai RM165.794 juta daripada 748.351 juta saham bernilai RM156.804 juta minggu lalu.
Waran susut kepada 197.735 juta unit bernilai RM13.55 juta daripada 291.58 juta unit bernilai RM19.22 juta sebelumnya. - BERNAMA