Baginda berkeyakinan, keharmonian dan kedamaian yang dikecapi pada hari ini adalah berkat persefahaman dan perpaduan seluruh rakyat.
Turut berangkat di istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.
Tuanku Muhriz bertitah melalui pemerhatian, baginda mendapati, sebahagian besar daripada perancangan dan dasar-dasar kerajaan yang dibuat telah membuahkan hasil positif.
"Beta yakin, ianya merupakan terjemahan daripada pemuafakatan kepimpinan kerajaan beta serta rakyat keseluruhannya. Justeru, beta menyeru kepada rakyat sekalian agar terus bersatu padu untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Ianya merupakan faktor penting untuk memastikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang berjaya," titah baginda.
Baginda juga menyeru agar tahun 2013 dijadikan sebagai tahun untuk semua pihak terus bekerja lebih kuat agar Negeri Sembilan menjadi negeri yang sentiasa disegani dan dihormati pencapaiannya dari segenap aspek.
"Beta ingin melihat agar agensi kerajaan, swasta serta seluruh rakyat dapat memahami dan melaksanakan dengan baik intipati pelan strategi pembangunan Negeri Sembilan bagi mendcapai negeri maju menjelang tahun 2020.
"Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2013. Beta berdoa semoga rakyat Negeri Sembilan khasnya dan Malaysia amnya akan terus dilimpahi kesejahteraan, keharmonian dan lonjakan pembangunan," titah baginda.
Baginda juga menghargai usaha kerjaaan negeri dalam memastikan pembangunan yang seimbang serta mewujudkan kehidupan yang harmoni.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapan tahniah dan sembah taat setia berkata pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan khususnya pelan tranformasi ekonomi diyakini memberikan impak positif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berada pada paras yang baik.
Katanya sehingga kini, prestasi ekonomi Negeri Sembilan juga berada di paras yang memuaskan di mana kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan pada tahun 2013 akan terus berkembang.
"Untuk itu, penglibatan sektor swasta sebagai penjana pertumbuhan ekonomi amat digalakkan, manakala sektor awam pula akan bertindak sebagai pemudahcara. Di dalam kerancakan kerajaan meneruskan momentum pembangunan negeri, kejayaan program-program mensejahterakan rakyat tetap menjadi keutamaan.
"Ini juga sejajar dengan hasrat Duli Yang Maha Mulia Tuanku agar setiap individu rakyat di Negeri Sembilan tidak ketinggalan di dalam arus pemodenan serta kemajuan. Patik juga berkeyakinan penuh bahawa, dengan sokongan padu dan semangat bekerja sebagai satu pasukan, segala program transformasi yang dihasratkan akan dapat diterjemahkan, demi kebaikan dan kesejahteraan masyarakat dan rakyat jelata.
"Selaku rakyat yang setia dan taat kepada Raja, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pihak, tanpa mengira atas kapasiti apa sekalipun, supaya menunjukkan keikhlasan, untuk sama-sama mempertahankan kedaulatan negeri dan negara bagi terus memupuk keharmonian dan perpaduan yang sangat berharga ini," katanya.
Dalam istiadat penganugerahan darjah kebesaran hari ini, seramai 166 orang mendapat kurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat daripada Tuanku Muhriz.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar mendahului senarai dengan menerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Turut menerima SUNS ialah bekas Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin adalah antara penerima Darjah Setia Tuanku Munawir Yang amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Terdahulu, istiadat dimulakan dengan perbarisan dan kawalan kehormat dari 71 Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mej Meza Ishahrin Mohd Yatim.
Turut diadakan satu pertunjukan pancaragam gabungan 14 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD), 24 RAMD dan 2 Kor Armor Diraja diketuai Drum Mejor Pegawai Waran II Nazarudin Mohamad. - BERNAMA
Anda sedang membaca artikel tentang
Tuanku Muhriz seru rakyat kekalkan sikap toleransi
Dengan url
https://palingmutahir.blogspot.com/2013/01/tuanku-muhriz-seru-rakyat-kekalkan.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Tuanku Muhriz seru rakyat kekalkan sikap toleransi
namun jangan lupa untuk meletakkan link
Tuanku Muhriz seru rakyat kekalkan sikap toleransi
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar