Beliau berkata, pelaksanaannya akan menjurus kepada defisit bajet kerajaan pusat melonjak kepada hampir 30 peratus pada tahun pertama, dan kadar nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melambung 140 peratus menjelang 2015.
"Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan kerajaan yang dipilih rakyat tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?" soal Najib yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini, hari ini.
Beliau berkata, inilah tahap kualiti dan ketidakmampuan perancangan ekonomi parti lawan yang tidak langsung mengejutkan.
"(Ini) kerana semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada 1997 hingga 1998, terbukti, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya yang kini menjadi ketua pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap," kata Najib tanpa menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tindakan beliau (Anwar) memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan, menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak, khususnya masyarakat perniagaan.
Sebaliknya, Najib berkata, di bawah kepimpinan Barisan Nasional, Malaysia kini antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM1 trilion.
Malaysia juga diiktiraf Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
Bank Dunia pula mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, manakala Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) pula menilai status Malaysia sebagai negara yang mempunyai Indeks Pembangunan Manusia yang tinggi.
Najib menarik perhatian, Dasar Transformasi Nasional yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi memastikan Wawasan 2020 tercapai.
Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi baharu misalnya, menjadikan pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus antara 2009 dan 2011, iaitu daripada AS$6,700 kepada AS$9,700.
"Kemuncaknya nanti ialah mencapai pendapatan per kapita US$15,000. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi iaitu AS$12,476, ia jelas menunjukkan Malaysia sudahpun berada pada landasan yang betul untuk mencapai taraf tersebut lebih awal," katanya.
Tambah beliau, perjuangan UMNO sejak merdeka memperlihat kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar selain berjaya menangani permasalahan kemiskinan.
"UMNO akan terus memperjuang agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di negara tercinta ini," tegas Najib. - BERNAMA
Anda sedang membaca artikel tentang
Negara hilang kedaulatan ekonomi jika Buku Jingga pembangkang dilaksana: Najib
Dengan url
https://palingmutahir.blogspot.com/2012/11/negara-hilang-kedaulatan-ekonomi-jika.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Negara hilang kedaulatan ekonomi jika Buku Jingga pembangkang dilaksana: Najib
namun jangan lupa untuk meletakkan link
Negara hilang kedaulatan ekonomi jika Buku Jingga pembangkang dilaksana: Najib
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar