Baginda bertitah kemakmuran dikecapi negara kini adalah hasil perpaduan kukuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang dipupuk sejak sekian lama dan tindakan tidak bertanggungjawab itu akan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat dalam sekelip mata.
"Agar dengan usaha, permuafakatan, keikhlasan dan persefahaman dan taat setia yang tidak berbelah bahagi di kalangan semua pihak, negeri ini akan terus dirahmati Allah SWT serta dilimpahi kemakmuran yang berkekalan," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis yang ke-13 di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Terdahulu, ketibaan baginda berdua di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri disambut Menteri Besar, Azlan Man dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari diikuti dengan upacara menerima tabik hormat daripada 105 anggota termasuk tiga pegawai Batalion Ke-2, Pasukan Gerak Am, Kulim, Kedah diketuai Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah.
Raja Perlis juga berharap semua wakil rakyat dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh integriti dan bertanggungjawab dalam usaha mencapai matlamat Perlis negeri maju.
Titah baginda, untuk tujuan itu kerajaan negeri hendaklah terus berusaha mencari peluang pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara untuk memastikan arus sektor pelaburan dapat menjadi pemangkin pembangunan negeri.
"Justeru, ahli-ahli yang berhormat perlu sentiasa mengadakan jaringan dengan semua pihak termasuk pelabur-pelabur asing dan agensi-agensi kerajaan pusat bagi memudahkan sebarang proses berkaitan kemasukan pelaburan ke negeri Perlis," titah baginda.
Baginda menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk membuka kawasan perindustrian baru dan menubuhkan "Perlis Invest" sebagai pusat sehenti pelaburan yang akan berfungsi untuk mempromosi sektor pelaburan di negeri ini.
Menurut baginda, projek-projek mega seperti Depoh Pelepasan Darat, Projek Ternakan Ayam Secara Bersepadu, Pembangunan Bandar Baru Chuping dan Bandar Maritim Kuala Perlis yang akan dilaksanakan dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan memberi kesan sampingan kepada pembangunan negeri secara holistik.
Baginda menyarankan syarikat multinasional dijemput dan diberi insentif pelaburan seperti pengurangan cukai tanah dan cukai pintu mengikut jenis industri untuk tempoh tertentu atau memberi jangka masa tertentu bagi menyelesaikan bayaran premium tanah.
"Beta berharap insentif yang akan diberikan hendaklah selaras dengan insentif cukai langsung dan tidak langsung yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 dan Akta Zon Bebas 1990," titah baginda.
Raja Perlis bertitah pembangunan Taman Teknologi di Pauh Putra juga akan membolehkan Perlis melangkah ke arena industri pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
Memandangkan Perlis mempunyai sumber asli yang terhad, baginda menyarankan tumpuan diberi kepada perlombongan dolomite dan bijih timah untuk mewujudkan nilai tambah dan meningkatkan produktiviti.
Beliau mahu pentadbiran kerajaan negeri meningkatkan kualiti kehidupan rakyat melalui Program Perumahan Rakyat (PPR), membela nasib rakyat kurang bernasib baik termasuk orang kurang upaya (OKU), ibu atau bapa tunggal, anak yatim dan warga emas serta membangunkan sektor usahawan melalui latihan keusahawanan, promosi pasaran, pembangunan produk, pembiayaan kewangan dan pengurusan perniagaan. - BERNAMA
Anda sedang membaca artikel tentang
Raja Perlis bimbang tindakan pihak tidak bertanggungjawab pecah-belah perpaduan rakyat
Dengan url
https://palingmutahir.blogspot.com/2013/07/raja-perlis-bimbang-tindakan-pihak.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Raja Perlis bimbang tindakan pihak tidak bertanggungjawab pecah-belah perpaduan rakyat
namun jangan lupa untuk meletakkan link
Raja Perlis bimbang tindakan pihak tidak bertanggungjawab pecah-belah perpaduan rakyat
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar