Peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan di tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung sehingga jam 11 pagi ini adalah dipengaruhi pencemaran jerebu merentasi sempadan.
Di Malaysia, sebanyak 26 titik panas (hotspot) dikesan melalui satelit NOAA-18 pada 22 Julai 2013 iaitu di Negeri Johor(6), Kelantan(5), Pahang(7), Perak(4), Negeri Sembilan(2), Selangor(1) dan Sarawak(1). Penyiasatan di lapangan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil bagi setiap titik panas (hotspot) yang dikesan.
Negara kini sedang mengalami musim Monsun Barat Daya dengan cuaca panas dan kering bermula pada bulan Jun 2013 dan dijangka berterusan sehingga awal bulan Oktober 2013.
Angin Monsun Barat Daya yang bertiup dari kawasan titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah, Indonesia telah membawa lingkaran jerebu sederhana ke kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Peta Jerebu Serantau dan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh "ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC)" ditunjukkan masing-masingnya seperti di Rajah 1 dan Rajah 2.
JAS sentiasa mengambil langkah-langkah bagi mencegah dari berlakunya pembakaran terbuka di seluruh negara yang boleh menyebabkan kemorosotan kualiti udara dengan melaksanakan tindakan berikut:
i) Mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua peringkat negeri di mana rondaan melalui udara dan rondaan darat setiap hari dilaksanakan; ii) Melaksanakan Prosedur Tetap Operasi bagi Program Mencegah Kebakaran di Tanah Gambut; dan iii) Bilik Operasi JAS di buka 24 jam setiap hari untuk menerima sebarang kes aduan pembakaran terbuka.
Di peringkat serantau, Ketua Pengarah JAS pada 22 Julai 2013 telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Kementerian Alam Sekitar Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah, Indonesia yang telah menyebabkan jerebu berulang di Semenanjung Malaysia semenjak 21 Julai 2013.
Dalam hal ini, Malaysia turut menggesa pihak Indonesia melaksanakan segera tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran.
NASIHAT JAS telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 KECUALI bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut:
(i) Pada 25 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Perak dan Pulau Pinang; (ii) Pada 24 Jun 2013 meliputi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu; dan (iii) Pada 19 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor.
Semua Perintah Larangan adalah masih berkuatkuasa sehingga masa kini.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh Negara mengikut tindakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.
SUMBER : Jabatan Alam Sekitar / Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: NAMA :Mohd Haizul bin Hod TEL : 03-8886 1585 (DL) FAKS : 03-8889 4763 EMEL : haizul@nre.gov.my. - BERNAMA
Anda sedang membaca artikel tentang
Status kualiti udara hari ini
Dengan url
https://palingmutahir.blogspot.com/2013/07/status-kualiti-udara-hari-ini.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Status kualiti udara hari ini
namun jangan lupa untuk meletakkan link
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar