Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim, berkata ini kerana keuntungan yang diperoleh penyeludup lebih besar berbanding kadar denda yang perlu dilunaskan atas kesalahan menyeludup haiwan terbabit seperti tenggiling, murai batu dan ular.
"Jadi kalau berpuluh-puluh tenggiling mereka dapat seludup, cuba bayangkan berapa keuntungan yang mereka (penyeludup) dapat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Sebagai contoh, beliau berkata di bawah Seksyen 68(1)(b), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 86(1)(1) di bawah akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan lima tahun penjara.
"Kita melihat RM100,000 itu sudah cukup tinggi, tapi penyeludup tidak serik-serik buat juga, ini kerana untung yang dia boleh dapat lebih besar jika dibandingkan dengan denda yang tak berapa tinggi itu," katanya.
Abdul Kadir berkata, permintaan yang amat menggalakkan terutamanya di pasaran luar negara, juga menjadi faktor penyebab kegiatan itu masih aktif.
"Bila ramai yang mahu, penyeludup ini berlumba-lumba mendapatkan haiwan tersebut. Contohnya, pada musim sejuk antara September hingga Oktober, mereka (negara luar) mahu banyak stok tenggiling dan ular sebab nak panaskan badan," katanya.
Beliau berkata Perhilitan mengesan kerjasama rapat antara penyeludup tempatan dan negara-negara jiran juga memudahkan lagi kegiatan berkenaan.
"Jika haiwan yang dimahukan tidak ada di hutan kita, penyeludup tempatan ini akan menghubungi rangkaiannya di negara jiran untuk mendapatkan haiwan berkenaan. Kadang-kadang untung atas angin sahaja," katanya.
Abdul Kadir berkata, oleh sebab itu juga, ia adalah antara cabaran Perhilitan bagi menangkap dalang kegiatan ini.
"Dia tak buat kerja seludup ini...Dia hantar orang bawahan dia sahaja. Kira macam bos lah, telefon sana sini, 'urus' itu ini dan tahu-tahu sahaja dia akan dapat untung setiap bulan.
"Yang kita dapat tangkap hanyalah mereka yang dikira sebagai 'ikan bilis' sahaja," katanya.
Beliau berkata, oleh kerana itu, kerjasama Perhilitan dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sentiasa dilipatgandakan dalam mengesan modus operandi penyeludup.
Katanya, statistik Perhilitan merekodkan 300 kes penyeludupan pada 2011 dan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja sudah mencatat 150 kes.
- BERNAMA
Anda sedang membaca artikel tentang
Kadar denda rendah punca penyeludupan haiwan liar masih berleluasa
Dengan url
https://palingmutahir.blogspot.com/2013/07/kadar-denda-rendah-punca-penyeludupan.html
Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya
Kadar denda rendah punca penyeludupan haiwan liar masih berleluasa
namun jangan lupa untuk meletakkan link
Kadar denda rendah punca penyeludupan haiwan liar masih berleluasa
sebagai sumbernya
0 komentar:
Posting Komentar