Bloomberg buka pejabat serba canggih di Kuala Lumpur

Written By Unknown on Selasa, 19 Februari 2013 | 15.09

KUALA LUMPUR: Bloomberg hari ini meluaskan komitmennya dengan membuka pejabat baru di Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur(KLCC), dengan kemudahan latihan serba canggih, sebuah studio penyiaran dan meluaskan ruang lantai bagi membolehkan pembesaran pada masa akan datang.

Acara perasmian dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden Bloomberg, L P Dan Doctoroff, Ketua Pengarang Bloomberg Matthew Winkler, Menteri dan CEO PEMANDU, Dato Sri Idris Jala dan pegawai kanan kerajaan serta tokoh perniagaan dan kewangan.

"Berikutan Malaysia terus berkembang dan dihormati sebagai pusat serantau serta pusat kewangan antarabangsa, kami akan terus menambah sumber dalam pasaran yang sangat penting ini," kata CEO dan Presiden Bloomberg, L P Dan Doctoroff.

"Itu sebab mengapa kami memasuki Malaysia sejak 20 tahun yang lalu, dan itu sebab mengapa kami membuka kemudahan serba canggih di Kuala Lumpur hari ini.

Pejabat baru ini menyediakan ruang unik untuk kami melakukan inovasi, menyokong para pelanggan kami dan kekal di hadapan dari segi trend dan wawasan dalam ekonomi Malaysia, dengan ruang yang lebih luas untuk kami terus berkembang bersama-sama Malaysia."

Sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat yang dipertingkat, Bloomberg akan menyediakan latihan khusus kepada 125 peserta dalam bidang seperti tukaran asing dan kewangan Islam di premis baharu itu bagi menyokong Program Memperkaya Bakat Sektor Kewangan (FSTEP).

Disokong oleh sektor perkhidmatan Kewangan Malaysia, FSTEP ialah projek dipacu industri yang melibatkan latihan intensif selama setahun dalam bidang perbankan dan insurans.
Program itu diurus oleh Institut Bank-Bank Malaysia dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, dengan matlamat untuk menyumbang dalam pembangunan pasukan bakat bagi memenuhi keperluan industri perkhidmatan kewangan.

Pejabat baru itu dan komitmen latihan tambahan itu adalah sebahagian daripada pelaburan berterusan Bloomberg dalam pembangunan produk, liputan berita dan latihan di Malaysia, sebagai ekonomi ketiga terbesar Asean bagi mengantarabangsakan sektor kewangan.

Baru-baru ini, Bloomberg menjalin usaha sama dengan Bank Negara Malaysia, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia dan Bursa Malaysia bagi melancarkan tiga indeks sukuk untuk Malaysia, pasaran sukuk terbesar dunia.

Sementara itu, Bloomberg News, yang diedarkan menerusi perkhidmatan Bloomberg Professional, televisyen, radio, mudah alih dan Internet serta dua majalah, Bloomberg Businessweek dan Bloomberg Markets, membuat liputan di seluruh dunia menerusi lebih daripada 2,300 profesional berita dan multimedia menerusi 146 biro di 72 buah negara.

Beribu pejabat di New York, Bloomberg mengambil lebih daripada 15,000 pekerja di 192 lokasi di seluruh dunia.

-BERNAMA


Anda sedang membaca artikel tentang

Bloomberg buka pejabat serba canggih di Kuala Lumpur

Dengan url

https://palingmutahir.blogspot.com/2013/02/bloomberg-buka-pejabat-serba-canggih-di.html

Anda boleh menyebar luaskannya atau mengcopy paste-nya

Bloomberg buka pejabat serba canggih di Kuala Lumpur

namun jangan lupa untuk meletakkan link

Bloomberg buka pejabat serba canggih di Kuala Lumpur

sebagai sumbernya

0 komentar:

Posting Komentar

techieblogger.com Techie Blogger Techie Blogger